HomeBeritaPolitikSelepas K.Kangsar, seorang lagi MP Bersatu isytihar sokong Anwar

Selepas K.Kangsar, seorang lagi MP Bersatu isytihar sokong Anwar

CYBERJAYA: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa mulai Isnin.

Suhaili berkata, langkah itu diambil setelah mempertimbangkan dengan teliti dan terperinci mengenai rintihan rakyat Labuan, yang berdepan dengan kos sara hidup semakin tinggi.

Malah, katanya, rakyat Labuan turut berdepan  masalah bekalan air dan elektrik sejak hampir 15 tahun, dan sehingga kini masih menemui jalan buntu.

Pada masa sama, beliau turut menyatakan sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yang disifatkannya telah banyak membantu rakyat Labuan menerusi anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah dari segi peluang pekerjaan dan perniagaan secara kecil-kecilan.

Namun, Suhaili yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wilayah Persekutuan menegaskan, beliau terus kekal setia dengan parti tersebut.

“Mengambil kira atas semua permasalahan rakyat Labuan, saya sebagai Ahli Parlimen Labuan dengan ini mengisytiharkan memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri bermula daripada tarikh kenyataan media ini dikeluarkan.

“Bagi mengelak sebarang keraguan, saya ingin menegaskan bahawa dengan menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah, saya akan terus taat, setia dan kekal sebagai Ahli Bersatu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Suhaili berkata, beliau bersedia berdepan dengan sebarang risiko tindakan disiplin daripada Bersatu berhubung keputusan tersebut.

Katanya, ia demi memastikan kebajikan rakyat Labuan dan pengundi di kawasan itu terbela daripada terus menjadi mangsa keadaan serta ketinggalan dalam pelbagai aspek pembangunan, berikutan perbalahan naratif politik ketika ini.

“Saya dengan ini menyokong dasar-dasar dan inisiatif kerajaan dalam hal-hal yang mengutamakan usaha-usaha memantapkan pembangunan, ekonomi dan kebajikan rakyat negara ini sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) akan datang.

“Saya juga ingin menyatakan bahawa, pengisytiharan sokongan ini adalah tanpa sebarang paksaan atau tekanan daripada mana-mana pihak dan saya melakukan dengan seikhlas hati demi kepentingan rakyat Labuan,” katanya.

Pada PRU15, Suhaili memperoleh 8,124 undi selepas mengalahkan Datuk Bashir Alias daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 708 undi.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid telah menyatakan sokongan kepada Anwar, dalam usaha meringankan beban rakyat di Kuala Kangsar yang berdepan peningkatan kos sara hidup.

Beliau yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mahu melihat sama ada Perdana Menteri akan menepati janji berhubung peruntukan kepada Ahli-Ahli Parlimen.

Susulan itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan kemudiannya mendakwa, Iskandar telah diugut supaya menyokong kerajaan sekiranya tidak mahu didakwa atas kesalahan rasuah.

Hamzah yang juga Ketua Pembangkang turut mengutuk keras tindakan kerajaan yang didakwa berterusan menyalahgunakan kuasa, bagi melakukan intimidasi dan ugutan terhadap pemimpin pembangkang.

Author

Pilihan Editor