KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon bersama Ketua Biro Politik Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) Ismail Haniyeh.
Menerusi perbualan itu, Anwar berkata, beliau menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia kepada rakyat Palestin.
Prihatin dengan keadaan kritikal melanda Palestin ketika ini, beliau menyokong desakan agar Israel menghentikan segera pengeboman ke atas Gaza, serta penubuhan koridor kemanusiaan di Rafah, Mesir.
“Israel perlu meninggalkan kepatuhan mereka kepada politik perampasan, serta-merta gencatan senjata dengan Hamas dan benar-benar mengejar resolusi aman untuk menamatkan konflik yang berterusan.
“Adalah penting untuk mengutamakan kesejahteraan dan keselamatan semua individu yang terjejas akibat krisis ini,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook pada Selasa.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia turut menyatakan komitmen menyampaikan bantuan kemanusiaan, khususnya makanan dan ubat-ubatan bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin.
Serangan udara dilancarkan rejim pengganas Israel sejak 10 hari lalu mengakibatkan kira-kira 2,808 rakyat Palestin terkorban manakala 10,859 lagi cedera.
Keadaan di Gaza semakin buruk dengan bekalan air, makanan, elektrik, ubat-ubatan juga tidak mencukupi untuk menampung 2.3 juta penduduk Palestin.