KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan bahawa, subsidi dan kawalan harga ayam akan ditamatkan sepenuhnya bermula Rabu ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, penamatan subsidi itu mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam sudah mulai stabil.
“Kerajaan akan memastikan harga jualan bagi ayam akan diapungkan terus berada pada kadar yang munasabah,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Sementara itu, katanya, subsidi dan kawalan harga bagi telur ayam gred A, B dan C pula akan diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada.
Pada pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kerajaan menimbang untuk mengapungkan harga telur dan ayam tidak lama lagi, selepas mendapati trend semasa menunjukkan bekalan kedua-dua sumber makanan itu kini stabil.
Beliau berkata, pelaksanaan tersebut membolehkan pasaran tempatan dapat berfungsi semula dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan ayam dan telur di pasaran, dan perincian mengenai langkah itu akan diumumkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam dua minggu, selepas berunding dengan pihak pengeluar.
Anwar berkata, langkah juga dilakukan bagi memastikan manfaat subsidi yang diberikan sebelum ini hanya dinikmati rakyat yang berhak, bukannya warga asing dan golongan kaya memandangkan sejak 2022, kerajaan telah mengeluarkan subsidi keseluruhan sebanyak RM3.7 bilion bagi menampung kos ayam dan telur.