CYBERJAYA: Tabiat merokok terutamanya penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan murid sekolah akan lebih berleluasa, sekiranya tiada undang-undang dikuat kuasa bagi mengawal situasi itu.
Lebih membimbangkan, Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, lambakan vape yang dijual di pasaran terbuka menarik perhatian orang ramai khususnya murid sekolah.
Tambah Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) itu, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 mendapati, peratus penggunaan vape telah melonjak naik daripada 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus pada 2022.
“Kanak-kanak seawal usia 9 tahun sudah mula terjebak dengan penggunaan produk merokok terutamanya vape.
“Apa yang lebih merisaukan adalah produk vape yang berada dalam pasaran sekarang mengandungi kadar nikotin yang sangat tinggi. Malah, dicampur dengan dadah berbahaya seperti methamphetamine dan magic mushroom.
“Perkara ini dapat dilihat di media akhbar dan banyak kilang vape yang mencampurkan methamphetamine ke dalam cecair vape telah diserbu oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, yang dijadual dibentang semula ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan pada Selasa ditangguhkan.
Namun, RUU yang berada di peringkat bacaan kedua itu masih terkandung dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat, yang bersidang bermula sejak Isnin hingga 30 November depan.
Mengulas lanjut, Mohamad Ali berkata, kajian Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan bahawa 66 peratus perokok di Malaysia adalah dalam kalangan B40.
Meskipun PIBGN menyokong usaha Perdana Menteri untuk menoktahkan kemiskinan, namun katanya, isu merokok terutama vape dalam kalangan anak-anak B40 akan menyebabkan usaha tersebut bukan sahaja semakin sukar, malah menjerumuskan mereka ke dalam ketagihan nikotin dan merosakkan masa depan masing-masing.
“Kami juga menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) untuk lebih serius dalam memastikan murid yang telah terjebak dengan tabiat merokok dan vape dibantu, dan bukan hanya menekankan aspek disiplin serta hukuman yang akan dikenakan kepada murid yang didapati merokok.
“Tahukah kita bahawa nikotin adalah bahan yang sangat tinggi kadar kebergantungan berbanding dadah-dadah lain, sehingga anak-anak yang telah ditangkap merokok hampir pasti akan mengulangi perbuatan mereka.
“Oleh itu, pendekatan yang lebih holistik diperlukan, bukan sahaja oleh pihak KPM yang menjaga urusan murid di dalam sekolah, tetapi juga agensi kerajaan yang lain bagi memastikan produk seperti vape tidak mudah untuk diperoleh oleh murid ketika mereka keluar daripada pagar sekolah,” tambahnya.