HomeNiagaTak malu bawa Grab! – Pemilik Kay’s Steak & Lobster kongsi detik...

Tak malu bawa Grab! – Pemilik Kay’s Steak & Lobster kongsi detik cabaran buka perniagaan

MEMBUKA sebuah perniagaan itu nampak mudah namun, untuk kekal relevan dalam industri memerlukan perancangan yang rapi dan pergorbanan.

Itulah yang dikongsi pemilik restoran Kay’s Steak & Lobster, Aizuddin Khalid, 39, yang hampir 10 tahun berkecimpung dalam industri makanan dan minuman (F&B) dan kini mempunyai tiga cawangan di sekitar Lembah Klang.

Bercerita tentang perjalanannya membuka restoran berkonsepkan masakan Barat, Aizuddin mengakui banyak persediaan dan waktu yang perlu dikorbankan pada awal detik beliau mula menceburi bidang F&B.

Pemilik Kay’s Steak & Lobster, Aizuddin Khalid

Anak jati Kuala Lumpur itu turut mendedahkan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang kelayakan dalam bidang pengajian yang berkaitan F&B kerana sebelum ini, beliau hanya bekerja dalam bidang perbankan sahaja.

Namun, perkara itu tidak menghalangnya untuk mencuba nasib dalam industri F&B kerana Aizuddin percaya bahawa setiap usaha yang dilakukan itu pasti setimpal dengan hasilnya.

Malah, Aizuddin turut memberitahu bahawa banyak cabaran yang perlu dilaluinya selaku ‘orang baru’ dalam industri F&B.
Salah satu detik yang masih kekal segar dalam ingatannya adalah pengalaman menjadi pemandu e-hailing demi memastikan perniagaannya kekal beroperasi tanpa sebarang masalah kewangan.

“Saya memang jaga cashflow, ada period yang saya terpaksa bawa Grab sebab masa itu (awal perniagaan) tak cukup nak tampung. So, saya bawalah Grab.

“Pagi-pagi lepas Subuh saya keluar buat Grab sampai pukul 10 hingga 11 pagi, lepas itu saya pergi beli barang.

“Saya takut kalau cashflow tak cukup, at least saya dah ada some saving untuk tampung atau untuk do something else.

At least saya tak perlu ambil gaji daripada business. Contoh kalau gaji business RM3,000, dengan buat Grab mungkin saya boleh dapat RM2,000 ke RM3,000 dah boleh bayar expenses saya, lagi RM3,000 itu boleh simpan dalam business,” kongsinya kepada MEDIA VARIASI.

Aizuddin turut menyatakan pandangannya bahawa terdapat beberapa aspek yang perlu dititikberatkan para pemain industri F&B dalam memastikan perniagaan kekal bertahan.

Kongsinya, selain daripada menjaga aliran tunai, aspek kualiti makanan dan khidmat layanan juga perlu diberi keutamaan supaya menjadi tarikan pelanggan.

“Dalam business macam kedai makanan atau restoran ini, food quality itu nombor satu and then second service la sebab bila kita datang restoran, kita nak dilayan sebab kalau tak, kita masak je dekat rumah sendiri.

So saya decide untuk fokus dekat layananlah, kita train staf kita, kita hire macam hospitality trainer daripada yang memang professional yang biasa train staf hotel. Kita tak adalah nak train sampai level hotel tapi at least better than the rest yang ada, yang sama macam our level tu,” ujarnya.

Kay’s Steak & Lobster merupakan sebuah restoran berkonsep kasual ‘semi fine dine’ yang menyajikan masakan hidangan Barat seperti udang kara dan daging wagyu. Antara menu yang menjadi pilihan ramai ialah Live Atlantic Lobster, Wagyu Tomahawk dan Beef Wellington.

Daging Wagyu Tomahawk, antara menu yang menjadi pilihan utama di Kay’s Steak & Lobster.
Selain daging stik, lobster turut menjadi kegemaran para pelanggan di Kay’s Steak & Lobster kerana rasanya yang ‘juicy’ dan menggiurkan!
Beef Wellington, tarikan terbaru yang turut menjadi pilihan ramai kerana dikatakan setanding hidangan di restoran Gordon Ramsay

Restoran yang menyajikan masakan seperti di hotel ini turut sesuai dijadikan lokasi makan seisi keluarga termasuklah mereka yang mempunyai anak kecil dan seringkali menjadi lokasi bagi sesetengah pihak meraikan detik gembira seperti menyambut hari ulang tahun perkahwinan dan sebagainya.

Sehingga 2023, restoran Kay’s Steak & Lobster kini mempunyai tiga cawangan iaitu di Putra Heights, Ampang dan Putrajaya dan menariknya, setiap cawangan itu mempunyai ciri reka bentuk dalaman dan suasana yang berbeza.

Menurut Aizuddin, restoran Kay’s Steak & Lobster kini dalam perancangan untuk memasuki pasaran di Pulau Pinang dan Johor.

Bagi anda yang berminat untuk mengetahui menu hidangan atau membuat tempahan meja di restoran Kay’s Steak & Lobster, sila ikuti maklumat lanjut di kaysteaklobster.com.

Author

Pilihan Editor