HomeBeritaPolitikTerima kasih pengundi DUN Pelangai tolak naratif fitnah, perkauman sempit - Anwar

Terima kasih pengundi DUN Pelangai tolak naratif fitnah, perkauman sempit – Anwar

CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan rasa terima kasih kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang memberikan kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, kemenangan Datuk Amizar Abu Adam dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai semalam menjadi kesinambungan kecemerlangan PH-BN di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

“Kemenangan ini menjadi kesinambungan kecemerlangan kita di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram hasil kesepaduan kerjasama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan yang berjaya mendobrak naratif fitnah dan perkauman sempit.

“Ia meniup semangat kepada Kerajaan Perpaduan untuk terus merancakkan agenda pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat berlandaskan kerangka Ekonomi Madani.

“Sekalung penghargaan juga kepada barisan jentera yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan ini,” tulisnya di laman Facebook hari ini.

Barisan Nasional berjaya mempertahankan kerusi DUN Pelangai apabila memperoleh majoriti 2,949 undi.

Dalam pertembungan tiga penjuru itu, calon BN, Datuk Amizar Abu Adam mendapat 7,324 undi dan Calon PN, Kasim Samat mendapat 4,375 undi manakala Calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni mendapat 47 undi.

Kerusi N36 Pelangai, diisytiharkan kosong susulan kematian Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Author

Pilihan Editor