HomeBeritaPolitikTiada lagi 'Islam, Melayu terancam' jika PAS sertai Kerajaan Perpaduan

Tiada lagi ‘Islam, Melayu terancam’ jika PAS sertai Kerajaan Perpaduan

CYBERJAYA: Tiada lagi isu ‘Islam terancam’ dan ‘Melayu terancam’ seperti mana yang sering disebar dalam media sosial serta pentas ceramah.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu hanya akan terjadi sekiranya PAS mengambil keputusan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

Jika PAS mengambil keputusan demikian, katanya lagi, tiada lagi fatwa atau ceramah yang menyesatkan mana-mana pihak, terutamanya terhadap parti berbeza ideologi dengan mereka.

Beliau berkata, situasi ini pastinya memberi manfaat baik kepada rakyat yang ketika ini dahagakan pembangunan, yang memberi kebaikan langsung kepada mereka.

“DAP sekali lagi akan disucikan dengan fatwa-fatwa baharu sebagaimana ketika mereka bersama dalam gabungan untuk hadapi PRU tahun 1999, 2004 dan 2008.

“Anwar Ibrahim akan kembali dijulang Pas sebagai pemimpin Islam yang suci dan bersih sebagaimana waktu PRU ke-10, ke-11 dan ke-12 dahulu.

“Semua di atas pastinya akan menurunkan suhu politik negara yang memberikan manfaat kepada rakyat bagi membolehkan fokus utama kepada soal memulihkan ekonomi negara dan meningkatkan kualiti kehidupan.

“Ini kerana tiada lagi politik fitnah, politik tohmah, politik adu-domba yang merugikan dan memudaratkan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Tangkap layar hantaran di laman Facebook Asyraf Wajdi.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Khamis menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, yang menyatakan parti itu akan menyertai Kerajaan Perpaduan.

Selain menyifatkan laporan berita itu sangat jauh berbeza daripada konteks ucapan beliau ketika merasmikan Muktamar Pemuda PAS, Tuan Ibrahim menegaskan, parti tersebut berpegang teguh dengan permuafakatan bersama Perikatan Nasional (PN).

Author

Pilihan Editor