KUALA LUMPUR: Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Pahang tidak bersetuju dengan cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menggunakan rumput Zeon Zoysia di stadium mereka, sebaliknya kekal menggunakan rumput sedia ada.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, cadangan penukaran rumput Zeon Zoysia itu berdasarkan amalan terbaik di negara-negara Asia Tenggara.
“Sehingga kini, hanya Sarawak yang menyatakan persetujuan untuk menggunakan rumput Zeon Zoysia, negeri-negeri yang tidak bersetuju adalah Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Pahang yang mahu mengekalkan penggunaan rumput sedia ada.
“Sementara negeri lain pula masih memerlukan lanjutan masa untuk membuat keputusan sehingga mereka betul-betul yakin bahawa kos dan penyelenggaraan tidak membebankan pada jangka masa panjang,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) bertanyakan sama ada KBS akan mengguna pakai padang jenis Zeon Zoysia di stadium lain, selain Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) memandangkan kualiti padang itu terbukti berkualiti tinggi dan bertaraf antarabangsa.
Menjawab soalan tambahan Muhammad Islahuddin, Hannah berkata, kerajaan menawarkan sumbangan rumput Zeon Zoysia kepada setiap kerajaan negeri selepas mereka memutuskan penggunaannya ke atas satu stadium yang dipilih.
Buat masa ini, katanya, tawaran terhad untuk rumput saja, namun bagi kos menaik taraf stadium perlu ditanggung oleh kerajaan negeri kerana setiap stadium yang dipilih mempunyai keadaan dan status berbeza.
“Saya bagi contoh, negeri A mereka hanya perlu naik taraf sistem saliran, negeri B mungkin perlu naik taraf soil (tanah), oleh sebab itu tawaran kita berikan untuk kos rumput saja.
“Mereka (negeri-negeri) tidak kata tidak berminat, kebanyakan negeri kata mereka nak tunggu dulu untuk kaji dari segi kos penyelenggaraan setiap bulan sama ada kerajaan negeri mampu atau tidak untuk teruskan projek itu,” katanya. – Berita Harian