HomeGlobalUniversiti di Ireland tawar ijazah pertama bidang 'Influencer'

Universiti di Ireland tawar ijazah pertama bidang ‘Influencer’

SEIRING dengan perkembangan teknologi yang pesat, media sosial kini bukan sahaja untuk tujuan berkomunikasi malah, dapat menjana sumber pendapatan setiap orang.

Jika ditanya kepada golongan muda terutama peringkat sekolah menengah, rata-rata daripada mereka lebih gemar menjadi pencipta kandungan atau pempengaruh (influencer) berbanding melanjutkan pelajaran ke universiti.

Perkara ini susulan gaya hidup mewah yang ditonjolkan pempengaruh menjadi faktor mendorong segelintir remaja untuk menjadikan pencipta kandungan sebagai satu kerjaya.

Sehubungan itu, sebuah universiti di Ireland bakal menawarkan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang penciptaan kandungan dan media sosial khusus buat individu yang berminat.

Memetik BBC, pensyarah media dan komunikasi di Universiti Southeast Technical di Carlow, Dr Eleanor O’leary berkata kursus ini bertujuan untuk mendidik pelajar bagaimana untuk mengekalkan penonton dan cara bekerja dengan perniagaan bagi mencari keuntungan.

“Sebagai pencipta kandungan di rumah sendiri, kebanyakan mereka mungkin tidak mempunyai apa-apa pemahaman tentang keseluruhan industri termasuk membabitkan kontrak dan agensi, serta perniagaan yang terlibat,” katanya.

Antara subjek yang diajarkan dalam kursus tiga tahun itu adalah termasuk kemahiran perniagaan, penyuntingan video dan audio, kajian budaya kritikal serta penulisan kreatif.

Jelasnya, sejak 2019, bidang berkenaan telah meningkat dua kali ganda dari segi nilai dan dianggarkan bernilai 16 bilion pound (RM91 bilion) di seluruh dunia.

“Ia adalah bidang yang memerlukan kemahiran tertentu.

“Ia menggunakan media sedia ada dan kemahiran perhubungan awam dan pemasaran tetapi ia juga merupakan satu bidang baharu yang perlu diterokai,” tambahnya.

Permohonan akan dibuka bermula November ini dan dijangka menerima kumpulan pelajar pertama pada September 2024.

Author

Pilihan Editor