HomeBeritaPolitikWan Ahmad Fayhsal nafi gesa Muhyiddin letak jawatan

Wan Ahmad Fayhsal nafi gesa Muhyiddin letak jawatan

CYBERJAYA: Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menafikan kenyataan yang mendakwa dirinya menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Menerusi poster tular, Wan Ahmad Fayhsal didakwa kecewa apabila Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman secara terbuka menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tulis poster itu lagi, sokongan dibuat dua Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tersebut menggambarkan kelemahan pimpinan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN seterusnya digesa meletakkan jawatan.

Malah, beliau juga didakwa melakukan gesaan supaya Muhyiddin perlu memberi peluang kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk menerajui PN.

Tangkap layar poster palsu yang mengaitkan Wan Ahmad Fayhsal.

Memberi respons atas perkara itu, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, fitnah tersebut dibuat untuk melaga-lagakan dengan niat untuk memecah-belahkan pimpinan Bersatu.

“Kami tetap istiqamah menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu.

“Pengkhianatan dua Ahli Parlimen kami dari Labuan dan Kuala Kangsar akan diuruskan oleh Lembaga Disiplin Parti. Jangan cuba jadikan mereka modal untuk memecah-belahkan parti,” tulisnya dalam hantaran di laman Facebook.

Terdahulu, Suhaili mengisytiharkan sokongan kepada Anwar berkuat kuasa mulai Isnin, setelah mempertimbangkan dengan rintihan rakyat Labuan, yang berdepan dengan kos sara hidup semakin tinggi.

Suhaili mengikut jejak langkah Iskandar Dzulkarnain yang turut menyatakan sokongan kepada Anwar, dalam usaha meringankan beban rakyat di Kuala Kangsar yang berdepan peningkatan kos sara hidup.

Author

Pilihan Editor