PETALING JAYA: Penyanyi nasyid dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman menyatakan dia sudah menjangkakan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini bahawa wujudnya kes prima facie atas tiga pertuduhan terhadapnya dan memerintahkannya membela diri.
Namun dia berharap proses mahkamah tersebut dapat diselesaikan segera bagi membolehkannya kembali ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan, Perak untuk menyambung rawatan.
“Alhamdulillah hari ini macam ada turning point untuk saya, semuanya berjalan lancar. Saya memang sudah jangka ada prima facie (atas pertuduhan).
“Saya sekarang on heavy medication, kalau tidak saya tidak berdiri berdiri di hadapan anda semua.
“Sebenarnya saya perlu sambung rawatan di Tanjung Rambutan, tapi saya kena habiskan proses mahkamah. Saya harap saya dapat pulang segera untuk habiskan rawatan 100 peratus,” katanya kepada pemberita di luar mahkamah, pada Selasa.
Hari ini Mahkamah Sesyen memerintahkan penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Laila untuk membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie dalam tiga pertuduhan dadah terhadapnya.
Selepas memilih untuk berdiam diri, pihak pembelaan kemudian memanggil saksi iaitu Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony untuk memberi keterangan.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 Oktober ini untuk disambung perbicaraan. – Astro Awani