HomeGlobalZionis ancam serang satu lagi hospital di Gaza

Zionis ancam serang satu lagi hospital di Gaza

BEBERAPA hari selepas membunuh ratusan rakyat Palestin di sebuah hospital dekat Semenanjung Gaza, rejim pengganas Israel mengancam untuk melakukan satu lagi serangan di institut kesihatan yang terletak di kawasan pantai.

Pada Jumaat, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) berkata, rejim Zionis memaksa penduduk Palestin untuk segera meninggalkan Hospital Al-Quds di Gaza.

Hospital itu bukan sahaja menempatkan lebih 400 pesakit, malah ia juga telah bertukar menjadi tempat perlindungan buat kira-kira 12,000 rakyat Palestin yang menjadi pelarian akibat serangan berterusan rejim Zionis sejak 7 Oktober lalu.

PRCS berkata, 70 peratus daripada penduduk Palestin yang ditempatkan di hospital itu merupakan kanak-kanak dan wanita yang berdepan dengan risiko kehilangan nyawa.

“Tempat ini boleh menjadi abu jika ancaman dikeluarkan.

“Adakah terdapat kuasa dunia mampu menghentikan ancaman Israel yang mahu mengebom hospital yang menempatkan orang awam tidak bersalah di dalamnya?

“Kami merayu dunia untuk mengambil tindakan segera bagi mencegah pembunuhan beramai-ramai seperti yang berlaku di Hospital al-Ahli Baptist,” katanya seperti dilapor Press TV.

Lebih 500 orang terkorban selepas serangan udara Israel ke atas Hospital al-Ahli Baptist di Gaza pada Selasa lalu.

Susulan itu, ramai pemimpin dunia mengecam sekeras-kerasnya atas pembunuhan beramai-ramai tersebut.

Malah, bandar-bandar utama di seluruh dunia juga telah bertukar menjadi lokasi bantahan dan kemarahan berikutan kekejaman Israel itu.

Author

Pilihan Editor