HomeBeritaPolitik2 lagi Ahli Parlimen Bersatu sokong Anwar bakal dikenakan tindakan tegas

2 lagi Ahli Parlimen Bersatu sokong Anwar bakal dikenakan tindakan tegas

CYBERJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengambil tindakan tegas terhadap dua lagi Ahli Parlimennya yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, tindakan kedua-dua Ahli Parlimen tersebut adalah bercanggah dengan pendirian parti.

“Ini adalah pelanggaran disiplin parti yang serius selain membelakangi mandat rakyat yang memilih mereka atas dasar keyakinan terhadap prinsip perjuangan Perikatan Nasional.

“Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini (Khamis) untuk membincangkan perkembangan terbaharu ini.

“Saya mendapat maklumat bahawa terdapat gerakan terancang daripada parti lawan untuk melemahkan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) dengan menggunakan sogokan dan ugutan terhadap ahli-ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau yang juga Pengerusi PN berkata, Bersatu tidak akan tunduk terhadap pakatan jahat tersebut dan tindakan yang lebih tegas akan diambil.

“Saya menyeru ahli-ahli Bersatu supaya kekal tenang dan istiqamah mempertahankan prinsip perjuangan parti sementara kepimpinan tertinggi Bersatu menangani perkara ini,” katanya.

Pada 12 Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menyatakan sokongan kepada Anwar setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak.

Tindakan itu diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman sebelum menyaksikan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim turut berbuat demikian pada Selasa.

Terbaharu, Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar pada Rabu.

Author

Pilihan Editor