HomeBerita5 juta perokok di negara ini berusia 15 tahun ke atas

5 juta perokok di negara ini berusia 15 tahun ke atas

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menganggarkan seramai lima juta perokok semasa di negara ini yang berumur 15 tahun ke atas.

Beliau berkata, situasi ini akibat daripada pertambahan jumlah perokok baru menggantikan perokok yang meninggal dunia.

“Perokok baru ini adalah dalam kalangan generasi berumur 15 hingga ke 40 tahun. Jumlah perokok ini dijangka akan terus bertambah dengan kemunculan rokok elektronik atau vape.

“Khusus bagi rokok elektronik atau vape, terdapat peningkatan peratusan pengguna dewasa 15 tahun ke atas iaitu sebanyak 1.2 juta orang pada tahun 2019 berbanding 600,000 orang pada tahun 2016 berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang telah dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Bacaan Kali Kedua) di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, di negara ini juga, sebanyak 27,000 kematian dilaporkan akibat merokok berdasarkan laporan Malaysia Factsheet The Asean Tobacco Atlas 2019.

“Punca utama kematian adalah disebabkan komplikasi, penyakit berkaitan jantung, penyakit paru-paru kronik dan kanser paru-paru.

“Masalah merokok semakin ketara dengan kemunculan produk merokok baru seperti rokok elektronik atau vape yang lebih menarik perhatian penggunanya,” katanya.

Beliau berkata, di bawah RUU ini juga, semua jenis produk merokok berasaskan tembakau termasuk rokok, cerut, tembakau, lerai dan lain-lain akan terus dikawal sebagaimana ia dikawal di bawah peraturan sedia ada.

“Manakala bagi produk merokok yang tidak berasaskan tembakau dan hasil tembakau termasuk bahan merokok yang terkandung di dalam rokok elektronik atau vape dan produk pengganti tembakau turut dikawal di bawah RUU ini,” katanya. – Harian Metro

Author

Pilihan Editor