HomeGlobal50 korban serangan Zionis di sekolah URNWA

50 korban serangan Zionis di sekolah URNWA

SEKURANG-KURANGNYA 50 rakyat Palestin terbunuh selepas serangan udara rejim pengganas Israel, ke atas sebuah sekolah kendalian Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Gaza.

Lapor Middle East Eye, sekolah Al-Fakhoura itu digunakan sebagai tempat perlindungan oleh ratusan penduduk Palestin.

Ia yang terletak di kem pelarian Jabalia, telah diserang awal bulan ini, manakala sebelum ini menjadi sasaran rejim Zionis pada 2009 dan 2014.

Menurut pegawai tempatan kepada AFP, rejim Zionis turut menyasarkan serangan ke atas sebuah bangunan di kem itu, sekali gus membunuh 32 sekeluarga.

Sementara itu di lokasi lain di utara Gaza, sekurang-kurangnya 63 rakyat Palestin terkorban ketika bergegas mendapatkan rawatan di hospital sumbangan rakyat Indonesia pada Sabtu pagi, menurut sumber perubatan kepada Al-Jazeera.

Serangan itu dilakukan susulan pengeboman rejim Zionis di beberapa kawasan di utara Gaza termasuk di Beit Lahia, Beit Hanoun dan bandar Gaza.

Selatan Gaza juga menjadi sasaran serangan rejim Zionis selama berminggu-minggu, meskipun Israel memaksa rakyat Palestin yang berada di utara melakukan perpindahan ke sana.

Kira-kira 26 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan udara rejim Zionis ke atas kawasan perumahan di Khan Younis pada awal pagi Sabtu.

Pada sebelah petang, sebuah lagi kediaman diserang di barat Khan Younis dan mengorbankan 15 penduduk Palestin, menurut pegawai kesihatan di Hospital Nasser, Gaza.

Setakat ini, lebih 12,000 rakyat Palestin terkorban termasuk wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 25,000 yang lain cedera sejak negara itu diserang rejim pengganas Israel pada 7 Oktober lalu.

Nyawa rakyat Palestin di Gaza kini tidak hanya terancam, malah rejim Zionis bertindak menyeksa kesihatan mental dan fizikal mereka menerusi sekatan bekalan keperluan asas seperti makanan, air dan elektrik.

Author

Pilihan Editor