KUBANG PASU: Seramai 64 pelajar Palestin yang melanjutkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok di sini akan mendapat pengecualian yuran pengajian selama setahun.
Menurut Naib Canselornya, Prof. Dr. Mohd. Foad Sakdan, UUM sedang memperincikan perkara itu termasuk memberi bantuan lain untuk pelajar berkenaan yang mengikuti pelbagai kursus.
“Jumlah pelajar Palestin yang berada di UUM adalah 64 orang. UUM bersetuju di peringkat universiti untuk memberikan pengecualian selama setahun.
“Ia diharapkan dapat meringankan beban dan menggalakkan mereka menyambung pengajian di UUM serta mendapatkan ilmu dalam bidang pengurusan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM yang akan berlangsung 19 hingga 23 November ini di Sintok, di sini hari ini.
Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini mengumumkan keseluruhan 600 pelajar dari Palestin yang mengikuti pengajian di universiti awam dikecualikan yuran selama setahun berkuat kuasa serta-merta sebagai memberi perhatian kepada konflik yang melanda mereka mereka ketika ini.
Mohd. Foad menambah, selain itu UUM turut menyediakan pelbagai kemudahan lain untuk pelajar terlibat termasuk subsidi yuran pengajian sejak 2017.
“Di UUM, mulai 2017 lagi khusus bagi pelajar Palestin kita hanya kenakan yuran ikut tempatan bukan antarabangsa. Memang caj untuk pelajar tempatan adalah rendah, mereka (pelajar Palestin) sudah dapat subsidi awal lagi dan bagi pengecualian tahun ini.
“Inisiatif lain berdasarkan perkembangan semasa dan keperluan pelajar seperti baru-baru ini UUM sampaikan komputer kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Menyentuh tentang konvokesyen itu katanya, seramai 5,738 graduan akan menerima ijazah masing-masing melibatkan sembilan sesi di upacara berkenaan.
“Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sebagai Canselor berkenan mengisytiharkan sesi pertama dan mengurniakan ijazah di majlis konvokesyen kali ini.
“Daripada keseluruhan 5,738 graduan tersebut, seramai 4,333 atau 75.52 peratus adalah terdiri daripada graduan sarjana muda, manakala 1,387 (24.17 peratus) merupakan graduan pascasiswazah terdiri daripada graduan Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan, Doktor Pentadbiran Perniagaan, Ijazah Sarjana dan Diploma Pascasiswazah serta 18 graduan (0.31 peratus) Diploma Eksekutif,” jelasnya. – Utusan