HomeBerita820 pegawai, anggota APM Pahang siap siaga hadapi kesan Monsun Timur Laut

820 pegawai, anggota APM Pahang siap siaga hadapi kesan Monsun Timur Laut

KUANTAN: Seramai 820 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula Sabtu ini dan berterusan hingga Mac tahun depan.

Pengarahnya, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah itu membabitkan 67 pegawai dan 753 anggota yang akan bertugas di 11 daerah di negeri ini.

Katanya, semua pegawai dan anggota sudah menjalani latihan intensif di sungai dan tasik sejak sebulan lalu sebagai persediaan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Bagi menghadapi MTL, sebanyak 67 kenderaan air iaitu bot jenis aluminium dan gentian kaca serta kenderaan dua alam disediakan bagi operasi menyelamat mangsa banjir.

“Dengan persediaan ini, APM turut bersiap siaga jika berlaku banjir kilat termasuk dengan kerjasama dengan agensi penyelamat lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, penekanan utama bagi menghadapi MTL ialah di empat daerah iaitu Kuantan, Temerloh, Maran dan Lipis yang biasanya akan berdepan bencana banjir.

Bagaimanapun, katanya, daerah lain turut diberikan tumpuan dan APM sentiasa memantau keadaan cuaca terutama hujan lebat melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

“Sehubungan itu, penduduk yang kawasan mereka berisiko banjir dinasihat berpindah awal sebaik menerima arahan daripada agensi penyelamat untuk memastikan keselamatan.

“Sebaiknya sentiasa peka dengan maklumat daripada METMalaysia, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang, Pejabat Daerah dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) apabila diarah berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS),” katanya. – Berita Harian

 

Author

Pilihan Editor