CYBERJAYA: Penyanyi, Aina Abdul akui malu apabila timbul dakwaan mengatakan dia layak bergelar penyanyi nombor satu, sekali gus mengenepikan kedudukan Datuk Seri Siti Nurhaliza sehingga menimbulkan perbalahan ramai, baru-baru ini.
Pelantun lagu Terus Hidup itu berkata, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk untuk bersaing dengan sesiapa, apatah lagi, penyanyi sehebat Siti.
“Jujurnya, saya segan dan malu apabila isu ini heboh diperkatakan.
“Saya faham kenapa orang marah dan tidak setuju dengan kenyataan itu. Sebagai tuan badan, saya pun tidak setuju apabila dibandingkan dengan figura hebat.
“Saya harap kejadian seumpama ini takkan terjadi dan akan berakhir. Saya ada baca komen netizen yang inginkan saya berada di kedudukan nombor satu, namun saya tak pernah terlintas nak letakkan diri dalam mana-mana nombor dan posisi,” katanya seperti dilapor BH Online.
Dalam pada itu, Aina turut mengakui bahawa Siti Nurhaliza merupakan idola yang banyak memberi inspirasi buatnya yang masih muda dalam industri muzik.
“Beliau juga adalah salah seorang idola saya. Jadi, saya berterima kasih kepada Siti dan penyanyi lain yang jadi inspirasi saya.
“Orang baharu seperti saya perjalanan tentunya masih jauh ketinggalan dan saya terlalu kerdil.
“Sejak awal menyertai industri muzik, saya tak pernah letak diri bertanding dengan sesiapa pun. Setiap kali buat sesuatu saya akan fikirkan adakah bagus atau tidak, musuh saya dalam industri ini adalah diri saya sendiri,” ujarnya.
Sebelum ini, timbul dakwaan peminat bahawa Aina layak bergelar penyanyi nombor satu negara dan Siti tidak lagi relevan untuk masa kini.
Susulan kenyataan itu, ramai pihak tampil bersuara kerana tidak berpuas hati dengan dakwaan itu sehingga membandingkan pencapaian Siti dan Aina.