HomeBeritaBangunan runtuh: Operasi mencari, menyelamat mangsa diteruskan - Bomba

Bangunan runtuh: Operasi mencari, menyelamat mangsa diteruskan – Bomba

GEORGETOWN: Kerja mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai terperangkap dalam runtuhan bangunan di tapak pembinaan bangunan DHL, berhampiran bangunan LKIM, Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, Bayan Lepas, Pulau Pinang, masih giat dijalankan.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, seramai enam orang daripada sembilan mangsa telah berjaya dikeluarkan.

Tiga daripada enam mangsa itu mengalami kecederaan dan tiga lagi disahkan telah meninggal dunia.

Menurut Komander Operasi, TPgB II JBPM Pulau Pinang, Azrul Khairi bin Abu Bakar, maklumat awal diperolehi, terdapat 9 orang mangsa telah terperangkap.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan sejak malam tadi selepas pihaknya menerima panggilan untuk bantuan menyelamat runtuhan bangunan pada jam 9.58 malam Selasa.

Justeru katanya, kerja-kerja mencari dan menyelamat tiga lagi mangsa masih dijalankan dengan bantuan pasukan bomba daripada tiga buah balai berhampiran iaitu BBP Bayan Baru, BBP Seri Balik Pulau dan BBP Jalan Perak.

Jelasnya, struktur bangunan itu berkeluasan 120×60 kaki persegi dan kapasiti struktur yang runtuh adalah 80 peratus terdiri daripada bancuhan simen konkrit, shall beam, cerucuk besi dan staging. Jumlah simen yang runtuh dianggarkan 30 tan.

Terdahulu, media melaporkan bahawa bomba mengesahkan terdapat 18 pekerja bertugas di lokasi kejadian.

Bagaimanapun sewaktu kejadian, sembilan daripada mereka berhenti rehat untuk solat manakala sembilan lagi meneruskan kerja sebelum bangunan berkenaan runtuh.

Author

Pilihan Editor