CYBERJAYA: Kumpulan muzik barat popular, Coldplay yang bakal gegarkan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada minggu depan mendapat bantahan daripada Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (MUIS).
Pengerusi MUIS, Datuk Zamri Hashim mengecam penganjuran konsert tersebut serta meminta pihak berwajib membatalkan konsert itu bagi menghormati perasaan kesedihan dan simpati terhadap saudara Islam di Palestin yang dihujani dengan bom dan bunyi letupan oleh rejim Zionis.
“MUIS meminta agar pihak berwajib membatalkan konsert ini, bagi menghormati perasaan kesedihan dan simpati terhadap saudara kita di Palestin yang sedang dibom dan diserang, hingga melibatkan lebih 11,000nyawa yang terkorban.
“Penganjuran konsert yang dibawa khas daripada luar ini, apatah lagi terpalit dengan tohmahan menyokong arus songsang LGBT.
“Pada waktu peperangan yang sedang berlaku di Gaza, yang telah meragut ribuan nyawa umat Islam, adalah sangat bertentangan dengan nilai agama dan persaudaraan sesama Islam,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Timbalan Mufti Perak itu turut memohon kepada umat Islam agar tidak melibatkan diri dalam memeriahkan konsert yang bakal diadakan itu.
“MUIS meminta agar semua umat Islam tidak terlibat dengan penganjuran konsert ini.
“Dan MUIS mengingatkan bahawa kelalaian mereka terhadap apa yang sedang berlaku di Palestin adalah suatu dosa pengabaian yang akan dipersoalkan kelak,” ujarnya.
Lantaran itu, MUIS menggesa semua pihak agar tidak melepaskan diri daripada tanggungjawab membantu dan menolong saudara sesama Islam di Palestin melalui semua aspek terutamanya doa, sumbangan dan sebaran keprihatinan kepada seluruh masyarakat.
Konsert Coldplay dalam siri jelajah ‘Music Of The Spheres World Tour’ di Malaysia akan menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 22 November ini.