KOTA BHARU: Seorang bayi berusia tujuh bulan maut selepas kenderaan dinaiki bersama ibu bapanya melanggar tiang lampu dan terbakar di Jalan Gua Musang-Kuala Krai, awal pagi Isnin.
Mangsa, Wan Sabeena Arisha Wan Shahrizat ditemukan rentung berhampiran kereta Honda Jazz berkenaan.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Mohd Fadzil Musa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 4.04 pagi.
“Kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis Honda Jazz yang terbabas dan melanggar tiang lampu. Lebih malang lagi, akibat daripada kejadian itu, kereta tersebut turut terbakar.
“Seorang lelaki, Wan Shahrizat Azwan Wan Shahril, 28, cedera parah akibat melecur seluruh tubuh, manakala isterinya, Nur Hasidah Razmi, 25, pula cedera ringan.
“Anak mereka berusia tujuh bulan dijumpai rentung berhampiran kereta terbabit,” katanya menerusi kenyataan yang turut dikongsi di Facebook, pada Isnin.
Bayi tersebut kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan.