KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mengesahkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, bulan depan.
Perkara itu diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRK Parlimen Kemaman di Menara Dato’ Onn di sini pada Isnin.
Ahmad Zahid berkata, keputusan meletakkan bekas Panglima ATM berusia 65 tahun itu dipersetujui pimpinan Dewan Tertinggi BN serta pemimpin akar umbi BN di Parlimen Kemaman.
Dewan Tertinggi BN dan kepemimpinan UMNO dan pengerusi perhubungan sudah membuat kesepakatan bahawa pada kali ini kita akan mengemukakan tokoh luar daripada kepemimpinan UMNO untuk diketengahkan sebagai calon BN di Kemaman.
“Kita sudah melihat latar belakang di Kemaman pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, biarpun BN tidak cukup kira-kira 27,000 undi untuk menduduki kerusi Kemanan, namun kita merasakan kerusi itu bukan kubu kuat PAS tapi UMNO,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, penampilan calon langsung khususnya bagi PRK Kemanan kali ini bukan pertama kali diputuskan BN.
“Kita pernah letakkan calon langsung di Parlimen Cameron Highlands iaitu Datuk Ramli Md Noor. Saya yakin kerana beliau (Raja Affandi) dibesarkan di Kemaman, keluarga beliau di Kemaman, (maka) tiba waktu sesuai letakkan calon yang UMNO absahkan ini untuk wakilkan rakyat Kemaman di Dewan Rakyat nanti.
“(Dari segi) penerimaan jentera belum dibuat kajian, tapi kita yakin daripada maklum balas diterima, pengundi Kemaman akan beri dokongan kepada beliau,” ujarnya.
Beliau juga berkata, gerak kerja kempen BN bagi PRK Kemaman nanti akan turut disertai jentera dari parti Kerajaan Perpaduan yang lain.
“Saya tidak berhasrat berkongsi strategi dengan media. Kita (parti dalam Kerajaan Perpaduan) sudah bersiap siaga sepenuhnya. Kita penuh yakin, namun bantuan media akan menambah keyakinan kita,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini, Â manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 18 November ini.
PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya negeri membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).