HomeBeritaCadangan naik harga siling beras tempatan perlu dikaji terlebih dahulu - Mat...

Cadangan naik harga siling beras tempatan perlu dikaji terlebih dahulu – Mat Sabu

IPOH: Kerajaan perlu mengkaji terlebih dahulu cadangan Badan Kawal Selia Padi dan Beras supaya harga siling beras putih tempatan (BPT) dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram berbanding RM2.60 sekilogram ketika ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, impak kenaikan itu mesti diambil kira kerana sebarang keputusan akan memberi kesan kepada hampir 300,000 komuniti yang terbabit dalam setiap rantaian berkenaan meliputi pesawah, pengilang komersial, pemborong dan peruncit.

Justeru, katanya, perkara berkenaan memerlukan penelitian serta perbincangan bersama antara Kementerian Kewangan (MoF), Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Beliau berkata, perbincangan berkenaan antara lain akan melihat pandangan sebilangan pihak bahawa harga BPT RM2.60 sekilogram itu adalah kadar sejak 2008 dan perlu dikaji semula, selain mengkaji dari segi beban dihadapi pesawah, pemborong, pengilang serta pengguna.

“Kita (kerajaan) jadi penyeimbang. MOF, Kementerian Ekonomi, KPKM dan KPDN akan duduk serta berbincang dengan teliti mengenai keperluan dan cara pelaksanaannya,” katanya kepada pemberita pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPK) 2023 di Dataran Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan BH, semalam, bahawa Badan Kawal Selia Padi dan Beras mendapati harga siling BPT wajar dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram berbanding RM2.60 sekilogram kini, bagi menjaga masa depan semua pihak yang terbabit dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu, terutama pesawah.

Kenaikan harga siling BPT penting bagi mengelak berlakunya longgokan padi tempatan berikutan pengilang tidak lagi berminat meneruskan pembelian beras kerana harga yang rendah.

Keadaan itu sekali gus menyumbang kepada kerosakan padi boleh berlaku apabila pengilang menumpukan kepada penjualan beras putih import (BPI) kerana ia lebih menguntungkan.

Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood dipetik berkata, penetapan harga siling BPT pada RM2.60 tidak disemak sejak 15 tahun lalu walaupun gaji minimum sudah dinaikkan sebanyak dua kali dalam tempoh itu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, beliau berpandangan perlu ada penyelesaian ‘menang-menang’ untuk semua pihak berkepentingan, selain memastikan agenda keterjaminan makanan nasional sentiasa diutamakan. – Berita Harian

Author

Pilihan Editor