PIHAK berkuasa Hong Kong telah membuka kertas siasatan ke atas seorang peniaga dalam talian, yang disyaki menjual daging anjing.
Lapor South China Morning Post, perkara itu terbongkar selepas orang ramai menyatakan kebimbangan terhadap iklan perniagaan tersebut di media sosial.
“Iklan yang disiarkan oleh beberapa kedai dalam talian berhubung penjualan daging anjing sudah dikesan,” kata Jabatan Pertanian, Perikanan dan Pemuliharaan pada Ahad.
Jurucakap jabatan itu berkata, pihaknya berhasrat untuk bekerjasama dengan pihak polis bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, orang ramai menerusi laman Facebook berkongsi iklan memaparkan peniaga menawarkan daging anjing segar, lazat serta berkualiti tinggi pada harga HK$328 (RM196) sekilogram (kg).
Iklan itu mencetuskan respons tidak puas hati daripada pengguna media sosial, yang rata-ratanya memberi emoji ‘marah’.
Setakat ini, iklan itu telah dikongsi lebih daripada 500 kali, dengan majoriti daripadanya meminta pengguna lain untuk melaporkan perniagaan itu kepada pihak berkuasa.
Ribuan pengguna juga menyeru pihak berkuasa di media sosial untuk sedia maklum mengenai perkara itu.
Penyembelihan serta penjualan daging anjing dan kucing merupakan perkara diharamkan di Hong Kong, yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda maksimum HK$5,000 (RM2,996).