HomeBeritaDeepavali: Hampir sejuta kenderaan dijangka hala ke Pantai Timur mulai Jumaat

Deepavali: Hampir sejuta kenderaan dijangka hala ke Pantai Timur mulai Jumaat

KUALA LUMPUR: Hampir satu juta kenderaan dijangka menghala ke Pantai Timur menggunakan Lebuh raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), bermula Jumaat, sempena cuti perayaan Deepavali.

Ketua Pegawai Eksekutif ANIH Berhad, Imran Gulcharan Abdullah berkata, pihaknya menjangkakan sebanyak 692,000 kenderaan akan menggunakan lebuh raya KLK bagi tempoh bermula Jumaat sehingga Isnin ini.

Katanya, ia bersamaan peningkatan sebanyak 73 peratus dari jumlah purata trafik harian biasa.

“Selain itu, jangkaan jumlah aliran trafik di LPT1 pula dijangka sebanyak 284,000, bersamaan peningkatan peratusan sebanyak 58 peratus daripada jumlah aliran purata trafik harian biasa.

“Oleh itu, ANIH Berhad membuat persediaan dengan menambah bilangan kakitangan sokongan lebih daripada 60 peratus, membabitkan petugas di plaza tol, pasukan LPT Ronda dan pasukan pusat kawalan trafik (TCC) sepanjang tempoh berkenaan, termasuk bersedia membuka laluan tambahan tol sekiranya perlu.

“Selain itu, seramai 150 anggota RELA akan ditempatkan di kawasan strategik di seluruh lebuh raya bagi memastikan kelancaran trafik.

“Seperti yang diumumkan kerajaan, tol percuma sempena perayaan Deepavali akan berkuat kuasa bermula jam 12.01 tengah malam ini dan berakhir pada pukul 11.59 malam Ahad,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

TTA bagi memudahkan pengguna merancang perjalanan mereka. -Foto: ANIH

Dalam pada itu, Imran Gulcharan berkata, ANIH Berhad, sebagai pengendali Lebuhraya KLK dan LPT1 juga sudah mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) membabitkan tempoh bermula Jumaat sehingga Isnin ini, bagi membantu pengguna jalanraya merancang perjalanan mereka.

“Jadual lengkap TTA bagi KLK dan LPT1 sudah dimuat naik di akaun Facebook Lebuh raya Pantai Timur bagi rujukan semua pengguna.

“Oleh itu, saya menggalakkan semua yang akan menggunakan lebuh raya menghala ke Pantai Timur menjadikan TTA ini sebagai panduan, supaya perjalanan lebih lancar dan selesa,” katanya.

Beliau berkata, ANIH Berhad turut ingin mengingatkan pengguna lebuhraya supaya memberi keutamaan kepada keselamatan diri sendiri serta pengguna lain, dengan mengamalkan pemanduan berhemah termasuk menggunakan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) atau hentian sebelah, apabila perlu.

“Patuhi tanda-tanda jalan, had laju, dan arahan daripada pegawai lebuh raya bagi memastikan keselamatan dan keselesaan semua terjamin.

“Pengguna Touch ‘n Go diingatkan untuk tetap menyentuh kad pada alat pengesan di lorong tol plaza, walaupun dalam tempoh tol percuma selain memastikan baki semua mod pilihan pembayaran mencukupi,” katanya.

Author

Pilihan Editor