CYBERJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa rakyat Malaysia seolah-olah tidak sependapat berhubung konflik antara Israel dan Palestin ketika ini.
Dr Mahathir berkata, ramai rakyat negara ini percaya bahawa peperangan itu berpunca daripada perbezaan antara rakyat Palestin dan orang Yahudi.
Namun, katanya, situasi yang berlaku ketika ini seperti pencabulan hak asasi rakyat Gaza.
“Seperti manusia lain yang punyai hak, rakyat Gaza juga berhak menikmati hak kemanusiaan. Tetapi, hak mereka dirampas orang Israel,” tulisnya dalam hantaran di laman X pada Selasa.
Justeru, Dr Mahathir menggesa rakyat negara ini untuk menolak perbuatan merampas hak kemanusiaan yang dilakukan orang Israel terhadap Palestin.
Beliau juga tidak bersetuju apabila hanya umat Islam yang menuntut pengakhiran pembunuhan besar-besaran dilakukan Israel.
“Seluruh rakyat Malaysia perlu merasa terganggu dan desak serangan Israel ke atas rakyat Palestin dihentikan,” katanya.
PERANG DI GAZA
(Diterjemah dari artikel asal The War on Gaza)
Â
1. Rakyat Malaysia seolah tidak sependapat mengenai peperangan ini. Ramai percaya perang ini berpunca dari perbezaan antara rakyat Palestin dan orang Yahudi. Ia mungkin punca perang bermula.
Â
2. Tetapi sekarang ia…— Dr Mahathir Mohamad (@chedetofficial) November 7, 2023
Ulas bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, orang ramai mungkin tidak dapat melupakan tragedi hak kemanusiaan orang Yahudi dirampas di Jerman sekitar tahun 1930-an.
Jelasnya, tragedi kemusnahan atau holocaust itu bukan sahaja menyebabkan enam juta orang Yahudi dibunuh, malah ramai yang sengsara akibat diseksa dan ditindas.
“Dunia bersimpati terhadap Yahudi di Jerman. Dan sebahagian daripada bantahan terhadap Nazi adalah sifat kebinatangan Nazi Jerman. Jutaan manusia mati untuk mengakhiri kesengsaraan orang Yahudi.
“Sekarang kita menyaksikan orang Yahudi Israel pula melakukan rampasan hak ke atas rakyat Palestin.Ini tragedi kemanusiaan.
“Perlakuan orang Israel ke atas rakyat Palestin adalah sama seperti yang dilakukan Nazi terhadap orang Yahudi. Ia jelas tidak adil dan tidak berperikemanusiaan,” tambahnya.
Setakat ini, lebih 10,022 rakyat Palestin terkorban termasuk lebih 4,104 kanak-kanak dan 2,641 wanita, manakala lebih 25,408 yang lain cedera sejak negara itu diserang rejim pengganas Israel pada 7 Oktober lalu.
Nyawa rakyat Palestin di Gaza kini tidak hanya terancam, malah rejim Zionis bertindak menyeksa kesihatan mental dan fizikal mereka menerusi sekatan bekalan keperluan asas seperti makanan, air dan elektrik.