CYBERJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyangkal dakwaan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan antara pemimpin yang mampu menyatukan kaum Melayu.
Sebaliknya, Dr Mahathir berkata, Najib adalah pemimpin bertanggungjawab yang memecah-belahkan orang Melayu.
Dr Mahathir yang juga bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, Najib ketika menggalas tugas sebagai sebagai Perdana Menteri secara terbuka mendakwa bahawa ‘Cash is King’ atau wang sebagai raja.
Jelasnya, kenyataan Najib itu bukanlah perkara yang diperjuangkan UMNO, sebaliknya parti terbesar orang Melayu tersebut sepatutnya memperjuangkan bangsa, agama dan negara.
“Bila anda kata Cash is King bermakna rasuah itu okay.
“Itu saya tak boleh terima pada masa itu. Saya marah dan tak mahu duduk dalam UMNO.
“Sebab itu saya tak boleh sokong Najib kerana dialah punca berlakunya perpecahan dan merosotnya UMNO daripada 80-90 turun kepada 50 sampai 26 ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan diajukan Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika siaran Podcast ‘Keluar Sekejap’ yang disiarkan di laman YouTube pada Isnin.
Khairy mengajukan soalan sama ada Najib atau lebih dikenali sebagai Bossku oleh para penyokongnya antara pemimpin Melayu yang mampu menyatukan bangsa tersebut.
Khairy berkata, perkara itu dibangkitkan apabila sokongan Melayu ketika ini berpecah kepada hingga empat parti termasuk UMNO, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
Sedangkan, dakwanya, pengundi Cina hanya memberi sokongan hampir sepenuhnya kepada DAP.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, perpecahan bangsa Melayu bermula apabila bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussien Onn membuka ruang kepada kaum lain untuk menyertai UMNO.
Jelasnya, perpecahan seterusnya berlaku apabila individu yang memiliki pelajaran agama tidak mendapat tempat dalam kerajaan, sekali gus menyaksikan mereka menubuhkan PAS.
Meskipun timbul perpecahan itu, Dr Mahathir berkata, sokongan terhadap UMNO tidak pernah kurang daripada dua pertiga semasa pilihan raya, iaitu semasa beliau menerajui negara suatu ketika dahulu.
Ketika itu, Dr Mahathir berkata, UMNO merupakan parti kukuh dan mendapatkan sokongan parti-parti lain seperti MCA, MIC dan SUPP, seterusnya membentuk kerajaan yang kuat.
“Apabila saya letak jawatan, saya harap dasar-dasar yang menyatupadukan orang Melayu yang menjayakan negara akan diteruskan.
“Tetapi, apabila saya letak jawatan, dasar itu digugur dan sebaliknya mengutamakan perkara lain. Kononnya tak nak nampak warisan daripada saya,” katanya.