PERGERAKAN Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mendakwa bahawa, pejuangnya telah memusnahkan sebanyak 60 kenderaan milik rejim pengganas Israel dalam tempoh tiga hari berturut-turut.
Jurucakap sayap tentera Hamas, Briged Al-Qassam, Abu Ubaida pada Isnin berkata, kenderaan yang disasarkan termasuk sekurang-kurangnya 10 pengangkut kakitangan berperisai.
“Pejuang kami menyasarkan (serangan ke atas) pasukan Israel pada Sabtu, menyebabkan kecederaan ketara,” katanya sambil menambah bahawa mereka mendengar anggota rejim Zionis menjerit meminta tolong.
Abu Ubaida berkata, Briged Al-Qassam juga berjaya menyebabkan kematian dan kecederaan ke atas rejim Zionis menerusi beberapa operasi yang dijalankan dalam tempoh sama.
“Apabila musuh (Israel) tidak dapat menarik kenderaannya yang rosak, ia terpaksa mengebom kemudahan untuk menyembunyikan kegagalannya.
“Musuh mungkin telah mengebom pasukannya sendiri di darat,” katanya seperti dilapor Press TV.
Tambah Abu Ubaida, pasukannya yang terdiri daripada 25 anggota melakukan serangan ke atas musuh di Hospital Rantisi, yang mana ia sudah pun menjadi pangkalan rejim Zionis selepas pesakit dipindahkan.
Menurut media Palestin, Briged Al-Qassam melancarkan roket besar-besaran ke pantai Tel Aviv dan beberapa kawasan lain di wilayah yang diduduki tidak lama selepas kenyataan Abu Ubaida dikeluarkan.
Serangan ke atas Israel itu disifatkan sebagai antara yang terbesar, sejak permulaan perang rejim Zionis ke atas Gaza.
Berikutan serangan itu, siren dibunyikan di wilayah yang diduduki dari utara Ashdod hingga utara Herzliya.
Setakat ini, lebih 13,300 rakyat Palestin terkorban termasuk wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 30,000 yang lain cedera sejak negara itu diserang rejim pengganas Israel pada 7 Oktober lalu.
Nyawa rakyat Palestin di Gaza kini tidak hanya terancam, malah rejim Zionis bertindak menyeksa kesihatan mental dan fizikal mereka menerusi sekatan bekalan keperluan asas seperti makanan, air dan elektrik.