PERGERAKAN Perjuangan Islam Palestin (Hamas) memutuskan untuk menangguhkan pembebasan kumpulan kedua tawanan Israel, selepas rejim pengganas mengingkari perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada Jumaat lalu.
Sayap tentera Hamas, Briged al-Qassam berkata, keputusan itu dimaklumkan menerusi orang tengah yang menguruskan perjanjian tersebut, lapor Press TV.
Katanya, antara perkara yang diingkari Israel termasuk langkah memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan dan bahan api ke Gaza, serta menghentikan pembunuhan yang mengakibatkan lebih ramai kematian dan kecederaan orang awam.
Pegawai kanan politik Hamas, Osama Hamdan berkata, Israel telah melanggar syarat perjanjian sejak hari pertama ia dikuatkuasakan dan masih meneruskannya pada Sabtu.
Awal minggu ini, Hamas dan Israel bersetuju dengan gencatan senjata diketengahkan Qatar, yang menyaksikan pertukaran tawanan serta menghentikan peperangan selama empat hari.
Di bawah perjanjian itu, Hamas akan membebaskan seramai 50 tawanan Israel, manakala 150 rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel akan dibebaskan.
Hamas berkata, pihaknya bersedia untuk melanjutkan perjanjian itu bagi menamatkan kekejaman Israel yang membunuh hampir 15,000 rakyat Palestin di Gaza sejak 7 Oktober lalu.