HomeGlobalIsrael larang rakyat Palestin solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa minggu ke-5 berturut-turut

Israel larang rakyat Palestin solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa minggu ke-5 berturut-turut

BAITULMUQADDIS: Pihak berkuasa Israel terus mengenakan sekatan ketat ke atas rakyat Palestin, melarang mereka memasuki Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki untuk solat Jumaat untuk minggu kelima berturut-turut.

Bagaimanapun, seorang pegawai Jabatan Wakaf di Baitulmuqaddis memberitahu Anadolu bahawa hanya 4,000 rakyat Palestin, yang majoritinya warga emas, berjaya sampai ke Masjid Al-Aqsa untuk menunaikan solat Jumaat.

Pegawai itu, yang enggan namanya disiarkan, menambah bahawa masjid itu kelihatan kosong berikutan kawalan ketat Israel di jalan-jalan.

Sejak awal pagi Jumaat, tentera Israel telah banyak dikerahkan merentasi Baitulmuqaddis Timur yang diduduki, terutamanya di Kota Lama dan pintu masuk menuju ke masjid.

Ratusan rakyat Palestin terpaksa menunaikan solat Jumaat di jalan-jalan berhampiran kawasan Kota Lama selepas dilarang memasuki Masjid Al-Aqsa.

Pihak Israel tidak mengulas mengenai alasan menyekat akses umat Islam ke Masjid Al-Aqsa untuk solat.

Tentera Israel telah meluaskan serangan udara dan darat ke atas Genting Gaza, yang berada di bawah serangan udara tanpa henti sejak serangan mengejut oleh Hamas pada 7 Oktober.

Sekurang-kurangnya 10,812 rakyat Palestin telah terbunuh, termasuk 4,412 kanak-kanak dan 2,918 wanita. Angka kematian Israel, sementara itu, hampir 1,600, menurut angka rasmi. – Anadolu

Author

Pilihan Editor