SERANGAN berterusan rejim pengganas Israel di Genting Gaza memberi kerugian kepada negara haram itu yang diterajui Benjamin Netanyahu sekitar AS$260 juta (RM1.2 bilion) setiap hari.
“Peperangan Israel ke atas Gaza telah menjadi lebih mahal berbanding dengan apa yang diramalkan sebelum ini, sekali gus meletakkan tekanan kewangan kepada Tel Aviv,” lapor Bloomberg pada Ahad.
Tambah laporan itu, kementerian kewangan Israel mengumumkan rancangan untuk meminjam lebih 75 peratus pada November berbanding bulan lalu, berikutan perang tersebut menyebabkan tol ekonomi mencecah hampir AS$8 bilion (RM37.6 bilion).
Lapor Bloomberg lagi, rejim Netanyahu semakin tertumpu kepada bon untuk membayar kos serangan di Gaza.
Serangan Israel ke atas Gaza juga telah menghantar gelombang kejutan menerusi kerugian ekonomi bernilai AS$488 bilion (RM2.3 trilion), serta memberi kesan kepada ribuan perniagaan di wilayah yang diduduki.
Namun, Netanyahu memaklumkan bahawa Israel akan membayar apa jua harga yang dikenakan bagi meneruskan peperangan itu, lapor Press TV.
Defisit bajet Israel melonjak lebih tujuh kali ganda berbanding 3.1 bilion shekel (RM3.7 bilion) pada Oktober 2022 kepada 22.9 bilion shekel (RM27.9 bilion) pada Oktober ini.
Kementerian kewangan Israel memberitahu bahawa, defisit tidak normal itu berpunca daripada peningkatan ketara dalam perbelanjaan sejak 7 Oktober, apabila negara haram tersebut melancarkan perang ke atas Gaza.
Dalam beberapa bulan akan datang, Israel dijangka membelanjakan berbilion-bilion shekel bagi tujuan kos tentera simpanan, pemindahan ratusan ribu penduduk haram di kawasan berhampiran sempadan Gaza dan penempatan pendudukan haram.
Setakat ini, lebih 11,000 rakyat Palestin terkorban, lebih 25,000 yang lain cedera, manakala lebih 2,700 dilapor hilang sejak negara itu diserang rejim pengganas Israel pada 7 Oktober lalu.
Nyawa rakyat Palestin di Gaza kini tidak hanya terancam, malah rejim Zionis bertindak menyeksa kesihatan mental dan fizikal mereka menerusi sekatan bekalan keperluan asas seperti makanan, air dan elektrik.