HomeBeritaJam Rolex Dr Zulkifli untuk Palestin berjaya dibida RM135,000

Jam Rolex Dr Zulkifli untuk Palestin berjaya dibida RM135,000

 

KUALA LUMPUR: Lelongan jam tangan Rolex kesayangan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tamat tengah malam tadi dengan nilai bidaan RM135,000.

Menerusi hantaran di Facebook (FB), Zulkifli memaklumkan bidaan tertinggi itu direkodkan pada jam 11.51 malam iaitu ketika tempoh bidaan hampir tamat.

Sementara itu menerusi ciapan di platform X, Zulkifli berterima kasih kepada pembida dan akan bertemu dengan pemenang petang ini.

“Bidaan jam Rolex untuk Palestin sudah tamat.

“Terima kasih kepada pembida yang membida. Semoga Allah ganjari niat yang murni dengan balasan selayaknya.

“Jumlah bidaan yang tertinggi adalah RM 135,000. Insya-Allah , saya akan bertemu pemenangnya petang ini,” ciapnya.

Perkongsian itu mendapat maklum balas positif daripada pengikutnya.

“Mulianya hati penderma itu, semoga Allah ganjarkan sebagai amal soleh,” tulis Mohamad Ali Sabri.

“Alhamdulillah… Barakallah… kepada pembida tertinggi anda hebat di dunia untuk akhirat…,” tulis seorang lagi pengikut dikenali Cik Puan Paya Kumbuh.

Kelmarin, Zulkifli menerusi hantaran di laman sosialnya melelong jam tangan Rolex milliknya yang dihadiahkan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz.

Mereka yang berminat membeli jam berkenaan boleh membuat bidaan dengan menulis harga ditawarkan di ruangan komen sehingga tengah malam tadi.

Menurut Zulkifli, hasil jualan itu akan didermakan sepenuhnya untuk kebajikan rakyat yang menderita di Palestin. – Harian Metro

Author

Pilihan Editor