ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) memerlukan 10 gol dalam baki dua perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang FC dan Pulau Pinang FC untuk melakar sejarah menjaringkan 100 gol dalam saingan semusim liga.
Perkara itu bukan mustahil bagi skuad kendalian Esteban Solari yang berulang kali berpesta gol ketika menentang pasukan lawan khususnya ketika bermain di gelanggang sendiri.
Namun pengendali kelahiran Argentina itu tidak meletakkan sasaran jaringan itu kerana hanya mahu pemain beraksi pada tahap tinggi dan mencapai keputusan positif.
“Menjaringkan 100 gol dalam satu musim bukanlah agenda kelab, keutamaan JDT adalah melakar kemenangan dalam semua pertandingan baik Liga Super, Piala FA atau Piala Malaysia.
“Apa yang saya terapkan mempamerkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan. Sudah tentu saya gembira jika mereka mampu jaringkan 100 gol atau 1,000 gol, namun keutamaan kami beraksi di tahap terbaik secara konsisten,” katanya.
Untuk rekod, JDT kini sudah menjaringkan 90 gol dan hanya membenarkan gawang dibolosi tujuh kali sahaja setelah mengharungi 24 perlawanan liga.
JDT akan berkunjung ke Kuantan menentang Tok Gajah pada 3 Disember ini dan melayan Penang FC pada aksi terakhir liga pada 16 Disember ini.
Mengulas kemenangan 2-0 ke atas Kuching City FC semalam, Solari berkata, juara Liga Super itu mampu menang dengan jaringan lebih besar sekiranya sentuhan penyudah lebih tajam.
Katanya, skuad Harimau Selatan mempunyai kira-kira 20 percubaan tepat ke arah pintu gol The Cats dan hanya berjaya mencipta dua jaringan, kedua-duanya pada babak pertama.
“Kita boleh menang dengan jaringan lebih besar. Apa pun saya berpuas hati dengan persembahan pemain terutama pemain muda, Daryl Sham yang membantu pasukan mengekalkan rekod kemenangan,” katanya. – Utusan