CYBERJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tampil mempersoalkan mengenai kebenaran bahawa Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) membunuh seramai 1,400 orang Israel.
Menurut Dr Mahathir, umum mempercayai bahawa Hamas melancarkan serangan roket ke atas Israel pada 7 Oktober lalu dan mengakibatkan seramai 1,400 orang dari negara haram itu terbunuh, malah beberapa individu menjadi tawanan.
Sejak dari itu, katanya, tiada lagi dakwaan menyatakan Hamas membunuh lebih ramai individu, sebaliknya Israel melakukan serangan balas dan membunuh lebih 2,000 rakyat Palestin pada tarikh sama.
“Dan setiap hari lebih daripada 100 rakyat Palestin telah dibunuh akibat serangan bom dan roket Israel. Sehingga kini, jumlah keseluruhan rakyat Palestin yang terbunuh adalah seramai 15,000 orang.
“Media Al-Jazeera menunjukkan rakyat Palestin membawa mereka yang terkorban dan cedera ke hospital. Ambulans berada di hospital dan kawasan yang berhampiran dengan bangunan runtuh.
“Kakitangan penyelamat bekerja berterusan siang dan malam. Kita juga dapat menyaksikan percikan api daripada bom dan roket disasarkan ke atas bangunan, yang seterusnya menyebabkan kebakaran dan keruntuhan,” katanya.
Menurut Dr Mahathir, 1,400 mayat merupakan jumlah banyak, yang mana orang ramai sepatutnya dapat menyaksikan mayat terabit selepas letupan roket.
Malah katanya, sekiranya benar dakwaan terdapat sebanyak 1,400 kematian, media Israel pastinya akan menunjukkan kerosakan bangunan dan sebagainya.
“Mungkin ada. Mungkin pihak Israel tidak mahu menunjukkan apa yang telah dilakukan oleh Hamas.
“Tetapi Israel mendakwa bahawa, hukuman bunuh mereka terhadap Hamas adalah kerana orang Palestin telah berani membunuh orang Israel.
“Pastinya gambar-gambar pembunuhan dan kemusnahan yang disebabkan oleh Hamas akan menunjukkan mengapa Israel menghukum Gaza. Tetapi tiada apa yang ditunjukkan tentang penderitaan orang Israel,” katanya.
Dr Mahathir berkata, Hamas berkemungkinan melepaskan roket pada 7 Oktober lalu, namun kebenaran sama ada roket terbabit menembusi sistem pertahanan udara yang melindungi Israel, Iron Dome masih menjadi tanda tanya.
“Okay. Anda tidak boleh menunjukkan bahawa Iron Dome itu gagal. Tetapi pastinya ia rosak hingga menyebabkan 1,400 orang Israel terbunuh. Sebelum 1,400 orang Israel dapat dibunuh, banyak bangunan akan dimusnahkan. Tetapi Israel tidak menunjukkan bangunan apa yang dimusnahkan.
“Kita ingat bahawa serangan terhadap Iraq adalah kerana ia mempunyai senjata pemusnah besar-besaran. Kini diakui bahawa Iraq tidak mempunyai senjata sedemikian. Oleh itu, ada kemungkinan 1,400 warga Israel tidak terbunuh seperti yang didakwa.
“Ia adalah satu penipuan; Israel membuat pembohongan ini untuk membenarkan pembunuhan beribu-ribu rakyat Palestin, untuk membenarkan pencerobohan Gaza dan memaksa pemerintahan Israel ke atasnya. Fikirkan,” katanya.