HomeBeritaViral‘King’ buat hal, kali ini potong laluan kecemasan sebelum nahas

‘King’ buat hal, kali ini potong laluan kecemasan sebelum nahas

CYBERJAYA: Seorang penunggang motosikal nekad mengejar seorang pemandu kereta yang memandu kenderaan secara berbahaya baru-baru ini.

Menerusi video tular, pemandu kereta jenis Perodua Myvi putih itu pada mulanya dilihat memotong penunggang motosikal terbabit pada laluan kecemasan.

Lebih merisaukan, tindakan itu dibuat ketika terdapat sebuah lori tangki pada sebelah kanan kedua-dua kenderaan tersebut.

Berang apabila dirinya hampir mengalami kemalangan, penunggang motosikal itu kemudian bertindak mengejar pemandu kereta terbabit.

Tidak beberapa lama kemudian, penunggang motosikal itu berhenti di sebuah persimpangan jalan raya, dan dilihat berpuas hati selepas mendapati pemandu Myvi tersebut mengalami kemalangan.

Kedua-dua individu itu kemudian turun dari kenderaan masing-masing untuk melihat kerosakan dialami kereta terbabit.

Penunggang motosikal tersebut menjelaskan kepada pemandu terbabit bahawa dia memandu kenderaan secara berbahaya.

Namun, pemandu itu tidak mengakui kesalahannya, sebaliknya hanya tertumpu kepada kerosakan pada Myvi tersebut.

Pada masa sama, penunggang terbabit mendakwa bahawa, gerak-geri pemandu terbabit ketika memandu  secara berbahaya sudah pun dirakam.

Tidak dapat dipastikan lokasi sebenar kejadian itu, namun ia tular di media sosial sejak Sabtu.

Sehingga berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan pihak berkuasa berhubung perkara tersebut.

Author

Pilihan Editor