PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini membuka permohonan kepada petugas kesihatan yang bersedia menyertai pasukan perubatan ke Gaza, Palestin sebaik sahaja kebenaran diberikan.
Menteri KKM, Dr. Zaliha Mustafa berkata, latihan bersesuaian akan diberikan kepada pasukan perubatan itu sebagai persediaan merawat mangsa-mangsa bencana peperangan.
Menurutnya, inisiatif ini turut mendapat kerjasama Palang Merah Antarabangsa dan Mercy Malaysia dalam menyokong sistem kesihatan di Gaza yang kini semakin lumpuh susulan serangan berterusan rejim Israel.
“Permohonan penyertaan dibuka secara dalam talian untuk mana-mana anggota kesihatan yang bersedia untuk dihantar ke sana.
“Kita berdepan dengan peperangan, latihan itu dari sudut fizikal, mental dan emosi kerana berdepan dengan peperangan ini, ia satu perkara yang sangat menekan.
“Jadi dari sudut persediaan lain-lainnya, saya yakin anggota kesihatan ini, mereka memang bersedia dari sudut rawatan dan sebagainya,” katanya memetik Utusan pada Rabu.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan sambutan Hari Integriti dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah, di sini, hari ini.
Isnin lalu, KKM menyatakan kesediaan untuk menghantar pasukan perubatan ke Gaza, Palestin sebaik sahaja kebenaran diberikan, malah pihaknya sudah mengenal pasti pasukan yang boleh dimobilisasikan.
Zaliha berkata, beliau turut berhubung dengan pasukan perubatan di sana dalam keperluan bantuan peralatan perubatan dan pembedahan berikutan kecederaan sangat tinggi di wilayah tersebut.