HomeGaya HidupLetak kerusi keselamatan kanak-kanak di kerusi penumpang hadapan elak bayi tertinggal dalam...

Letak kerusi keselamatan kanak-kanak di kerusi penumpang hadapan elak bayi tertinggal dalam kereta – Kaunselor

KUALA LUMPUR: Langkah meletak kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan di kerusi penumpang hadapan, dilihat boleh membantu mengelak berlaku kes bayi tertinggal di dalam kereta sehingga maut.

Kaunselor Berdaftar di Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, tindakan itu amat digalakkan sebagaimana amalan di luar negara, selain mampu mencegah sindrom terlupa kehadiran bayi disebabkan tidak terlihat secara visual oleh pemandu.

Pada masa sama, beliau menekankan perlu ada sikap was-was dan sentiasa membuat pemeriksaan sebelum meninggalkan kereta, kerana ia bukan saja dapat membantu menangani kes tertinggal bayi tetapi juga keselamatan kenderaan.

“Namun, tidak dinafikan kecuaian adalah faktor paling asas dalam kejadian sedemikian. Bagaimanapun, ia tidak bermaksud individu berkenaan tidak peka, sebaliknya fokus dan perhatian mereka terganggu pada waktu itu.

“Justeru, pengurusan diri serta masa juga amat penting supaya setiap orang mampu mengendalikan tugas harian dengan baik dan sempurna tanpa terkejar-kejar sehingga berlaku kes-kes sedemikian,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Berdasarkan garis panduan kerusi keselamatan kanak-kanak di Malaysia oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), kerusi keselamatan kanak-kanak digalak diletakkan di kerusi penumpang belakang.

Namun, jika perlu diletakkan di kerusi penumpang hadapan, ia hendaklah dilaraskan ke belakang kepada kedudukan paling jauh daripada beg udara (mengikut manual kenderaan) dan perlu menggunakan lima ciri perlindungan yang ada pada kerusi keselamatan itu.

Menjelaskan lanjut, Siti Fatimah berkata, kerjasama dan keprihatinan semua pihak juga penting, misalnya pihak Taska atau pengasuh perlu memainkan peranan menghubungi ibu bapa jika anak-anak tidak dihantar ke pusat jagaan tanpa notis.

“Selain itu, jadikan budaya menghubungi pasangan bagi memastikan anak sudah dihantar atau belum. Jangan biarkan ia diselesaikan oleh pasangan saja meskipun ia adalah rutin harian.

“Saya juga menggesa masyarakat supaya tidak melemparkan pandangan negatif dan bahasa kasar kerana ia memberi kesan emosi serta trauma kepada keluarga berkaitan.

“Sokongan moral dan mental kepada keluarga terbabit amat penting bagi meringankan kesan trauma atau beban emosi yang dihadapi, selain ia wajar dijadikan pengajaran kepada semua agar tidak berlaku lagi,” katanya.

Rabu lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemui meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal di dalam kereta di Ara Damansara, Petaling Jaya.

Hasil siasatan mendapati ibu mangsa dikata terlupa menurunkan mangsa di Tadika selepas berhenti seketika untuk menyelesaikan urusan perniagaan dalam talian sebelum terus pulang ke rumah.

Pada 25 Oktober lalu, seorang bayi perempuan berumur 16 bulan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta di kawasan sebuah universiti awam (UA), di Kuala Nerus.

Hasil siasatan awal polis mendapati bapa mangsa dikatakan terlupa menghantar anaknya ke pusat asuhan yang terletak di dalam kampus terbabit sebelum ke tempat kerja di universiti sama.

Pada 6 Oktober lalu, seorang bayi perempuan berusia lapan bulan maut selepas ditinggalkan hampir 10 jam dalam kereta ibunya dari pagi hingga petang di kawasan parkir kenderaan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HTCM), Cheras.

Kejadian berlaku selepas ibu mangsa yang juga seorang doktor, menyangka sudah menghantar bayinya itu ke Taska sebelum ke tempat kerja.

Pada 14 Mac lalu, seorang bayi perempuan berusia dua tahun meninggal dunia selepas empat jam ditinggalkan dalam kereta oleh ibunya di kawasan parkir sebuah kolej kemahiran di Port Dickson.

Ibu mangsa dilaporkan terlupa bayinya dibawa bersama dan tertinggal di dalam kereta sebelum menyedari kejadian itu kira-kira jam 1 tengah hari. – Berita Harian

Author

Pilihan Editor