HomeHiburanMawar Rashid umum dah bercerai

Mawar Rashid umum dah bercerai

TEKA-TEKI pergolakan rumah tangga pelakon, Mawar Rashid dan suaminya, Raf Yaakob akhirnya terungkai apabila Mawar sendiri mengesahkan bahawa mereka sudah bercerai atas dasar tiada lagi persefahaman.

Mawar, 28, menerusi Instagram berkata, fokus utama mereka sekarang adalah memberi seluruh sokongan dan kasih sayang kepada anak-anak mereka.

“Kami berdua bersetuju untuk berpisah atas dasar tiada persefahaman. Raf dan saya kekal berhubungan baik,

“Fokus kami sekarang adalah memberi sokongan dan kasih sayang yang diperlukan oleh anak-anak kami.

“Kejayaan hubungan kekeluargaan bermula dari ibu bapa dan itu yang kami akan usahakan bersama biarpun tidak lagi berdua,” ujarnya menerusi Instagram Stories.

Bagaimanapun, Mawar tidak mendedahkan bila mereka memfailkan cerai.

Dalam pada itu, pelakon Tundukkan Playboy Itu berharap tiada lagi spekulasi atau komen negatif berkenaan perkahwinan mereka selepas ini serta meminta peminat mendoakan yang baik-baik untuk mereka.

“Kepada rakan-rakan media, terimalah kenyataan ini sebagai satu-satunya kenyataan daripada kami berdua. Kami harap anda semua akan menghormati ini.

“Kepada followers, kami berharap anda semua dapat mendoakan yang baik untuk kita berdua. Tolong jangan membuat spekulasi atau menyebarkan sebarang perkara negatif.

“Kami berdua benar-benar kesal untuk berkongsi berita ini dengan anda semua. Namun, ini adalah yang terbaik untuk kami berdua.

“Terima kasih kerana sentiasa menyokong kami berdua dan juga kata-kata baik anda. Ia benar-benar bermakna kepada kami,” tulisnya.

Semalam, Mawar mencuri perhatian ramai apabila bertindak memadam foto bersama Raf dan tidak lagi saling mengikuti akaun Instagram masing-masing.

Pasangan itu juga dikatakan sepatutnya hadir ke sebuah mahkamah syariah semalam bagi menyelesaikan urusan perceraian mereka.

Terdahulu, Mawar pada 10 Oktober lalu mengejutkan ramai apabila berkongsi foto tidak lagi bertudung dalam media sosial.

Untuk rekod, Mawar mendirikan rumah tangga dengan Raf yang merupakan adik kepada selebriti Fazley Yaakob pada 9 November 2017.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata Raden Muhammad, 4, Raden Seri Rosabella Cinta kini berusia dua tahun dan Raden Seri Riyanna Sayang, 10 bulan. 

Author

Pilihan Editor