WAKIL Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) di Iran mendakwa, Operasi Banjir al-Aqsa telah meningkatkan kesedaran secara global mengenai nasib rakyat Palestin yang ditindas.
Khaled Qaddoumi berkata, naratif Israel mengenai konflik di Palestin semakin hilang daya tarikan, sebaliknya naratif Palestin semakin terkenal.
Menerusi temu bual dengan Press TV pada Jumaat, Khaled berkata, bantahan yang dilakukan masyarakat dunia ketika ini adalah untuk menyokong Palestin.
Katanya, dunia menyaksikan sendiri bahawa pembunuhan beramai-ramai abad ke-21 sedang berlaku di Palestin.
“Sudah 27 hari Operasi Banjir Al-Aqsa, manakala jenayah perang serta jenayah kemanusiaan dilakukan secara berterusan oleh rejim Israel dengan sokongan penuh Amerika Syarikat (AS) terhadap anak-anak dan rakyat kita di Gaza,” katanya.
Beliau berkata, Israel dan AS telah menipu dunia selama beberapa dekad berhubung penderitaan orang Yahudi di Jerman dan tempat lain.
Khaled berkata, rakyat Jerman kini mempersoalkan alasan wang mereka harus dibelanjakan untuk menyokong Israel.
Tambahnya, rakyat Jerman juga mendakwa bahawa pembunuhan Yahudi beramai-ramai pada beberapa dekad lalu tiada kaitan dengan mereka.
“Naratif Israel hari ini kalah tetapi naratif Palestin dan keadilan menang hari ini,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat global sebulat suara menentang pendudukan haram Israel, seterusnya memaksa beberapa negara menunjukkan sokongan kepada Palestin.
Katanya, ini termasuk Bahrain memanggil pulang semula dutanya di Israel, manakala negara-negara Amerika Latin seperti Bolivia memutuskan hubungan diplomatik dengan negara haram itu.
Tambahnya, bantahan umum sangat tinggi sehingga AS yang menyokong Israel sejak awal konflik kini membangkitkan tentang keperluan gencatan senjata.
Angka korban rakyat Palestin di Gaza kini melepasi 9,200 orang termasuk lebih 3,000 kanak-kanak, manakala rejim pengganas Zionis sedang mengepung genting tersebut.