HomePendidikanPPK USM anjur program ‘Digital Literacy’, bantu pelajar kendali dunia digital

PPK USM anjur program ‘Digital Literacy’, bantu pelajar kendali dunia digital

CYBERJAYA: Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) menganjurkan program Digital Literacy di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdullah Munshi, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Program tajaan Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM itu melibatkan 20 orang pelajar Tingkatan 2 SMK Abdullah Munshi dengan tujuan memberi pengetahuan dan kecekapan menggunakan media digital.

“Seramai 20 orang pelajar tingkatan 2 dari sekolah ini telah menyertai program selama 9 jam yang telah diadakan selama 3 hari iaitu pada 22 dan 29 September serta 2 Oktober 2023.

“Program tajaan Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM ini bertujuan untuk memberikan kemahiran teknikal untuk mengendalikan internet dengan baik, menajamkan kemahiran kognitif dalam menilai, mencipta, berkongsi maklumat dalam talian dan melindungi diri daripada kemudaratan dalam talian.

“Dalam program ini, pelajar-pelajar telah didedahkan dengan pelbagai topik yang penting mengenai kemahiran digital seperti pengenalan kepada literasi digital, mencari, menilai dan mengesahkan maklumat, pemikiran kritis, komunikasi berkesan, budaya digital, keselamatan dalam talian dan netiquette,” kata PPK USM dalam satu kenyataan.

Peserta program Digital Literacy, Raffael Damien Merza Zulkifli

Dalam pada itu, Ketua Projek Digital Literacy, Profesor Madya Dr Bahiyah Omar berkata, program berkenaan nyata menjadi platfom membantu anak muda memahami konsep dunia digital.

“Program ini sedikit sebanyak memberikan pengetahuan kepada anak-anak muda untuk mengetahui apa yang mereka boleh dan tidak boleh buat dalam dunia digital,” katanya.

Sementara itu, peserta Digital Literacy, Raffael Damien Merza Zulkifli berkongsi pengalamannya yang memperoleh pelbagai input menarik berkaitan aspek pengendalian dunia maya menerusi program berkenaan.

Manakala seorang lagi peserta, Nursyasya Ariesya Shuhaimi berkata, penglibatan dalam program Digital Literacy amat membantu dirinya mempelajari aplikasi baru dan cara menyemak berita palsu.

Peserta program Digital Literacy, Nursyasya Ariesya Shuhaimi

“Walaupun saya tahu banyak perkara mengenai dunia digital, tetapi program ini telah memberikan informasi baru dan kejelasan mengenai apa yang boleh saya buat dan tidak dalam dunia maya.

“Program ini juga sebenarnya membuka minda saya bahawa dunia maya ini sangat luas dan banyak cabarannya,” ujarnya.

 

 

Author

Pilihan Editor