CYBERJAYA: Rezeki seorang anak kecil apabila Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengambil kanak-kanak bernama Missclyen Anak Roland sebagai anak angkat.
Khabar itu dikongsikan oleh seorang wanita menerusi Facebook Kak Na yang memuat naik gambar surat istana bertarikh 10 Oktober 2023, berhubung pengambilan anak angkat itu.
“Waba’dah Ehwal Beta berhasrat untuk mengambil Missclyen sebagai anak angkat. Dalam hubungan ini, Beta akan memberikan perbelanjaan melalui Tuan sebagai penjaga bagi penggunaan persekolahan Missclyen.
“Selain itu juga Beta akan menanggung perbelanjaan bagi mengubati penyakit Hypertrichosis atau Sindrom Werewolf yang dihadapinya.
“Beta berharap dengan bantuan ini dapat meringankan sedikit beban Tuan dan pacai pondok dalam menjaga dan membesarkan Missclyen,” tulis kenyataan dalam surat berkenaan.
Sementara itu, wanita yang dikenali sebagai Kak Na itu turut menzahirkan rasa syukur dan gembira atas rezeki yang diperolehi Missclyen.
“Rasa macam mimpi…. bila ayah awak (ayah Missclyen) tadi bagitahu sesuatu and send surat. Bila saya baca rupanya surat pengambilan anak angkat dari Tuanku Permaisuri.
“Cukup bertuah kau dik (Missclyen). Semoga semuanya berjalan dengan lancar. Nanti lama la kita tak bersama kalau awak dah dibawa orang ke sana…air mata ni tak berhenti mengalir sebab terlalu happy,” tulisnya menerusi hantaran berkenaan.
Menjengah di ruangan komen, orang ramai turut kagum dengan sikap prihatin dan budiman yang dipamerkan Raja Permaisuri Agong.
“Tuhan kabul kan sebahagian doa mu sebelum ni sis. Tuhan Maha baik dengan segala kesabaran umat nya, Daulat Tuanku Permaisuri. Sihat dan Bahagia selalu Tuanku,” tulis netizen.
“Bertuah kamu adik semoga menjadi anak yg berjasa pd org tua n negara,” kata seorang lagi warga net.
“Alhamdulillah. Tahniah puan sekeluarga. Moga ujian kalian sekeluarga dipermudahkan dengan bantuan Tuanku,” titip seorang lagi pengguna Facebook.