HomeHiburan'Saya percaya netizen sangat baik' - Angelina Tan perjelas isu watak tidak...

‘Saya percaya netizen sangat baik’ – Angelina Tan perjelas isu watak tidak bertudung

“SAYA harap orang tidak campur ‘Angeline Tan’ dengan watak (lakonan).”

Itulah ungkapan pelakon, Angelina Tan atau nama Islamnya, Ardini Angeline, ketika diaju soalan berhubung watak yang memerlukannya menanggalkan tudung.

Menurut Angelina, 56, masih ada beberapa watak yang menuntutnya menanggalkan tudung meskipun dia kini dalam fasa menyesuaikan diri dengan imej berhijab.

Katanya, perkara itu berikutan watak yang dilakonkannya itu telahpun ditawarkan sebelum dia memeluk Islam.

“Saya masih berlakon, kerja saya masih teruskan macam biasa. Saya masih belajar tentang akhlak dan masih ada kerja belum selesai. Biar saya selesaikan dulu.

“Saya memang ada watak yang meminta untuk buka tudung, sebabnya watak dan kerja itu saya terima sebelum saya peluk Islam lagi dan berkahwin dengan Sabri.

“Malah ketika saya ingin peluk Islam, saya tidak merancang pun untuk memakai tudung, selepas peluk Islam, saya melihat dan belajar sendiri untuk pakai tudung. Jadi apa yang sudah saya janji dengan pengarah tentang watak tidak bertudung itu, saya perlu buat,” katanya memetik portal Oh Bulan!.

Susulan itu, Angelina berharap orang ramai memahami situasinya dan tidak berasa terkejut sekiranya melihat dia tidak berhijab.

“Saya percaya netizen sangat baik dan faham keadaan saya.

“Saya pasti juga mereka akan memahami dan beri ruang kepada saya ketika saya bekerja,” ujarnya.

Pada 14 Oktober lalu, Angelina selamat mendirikan rumah tangga bersama pelakon dan pengarah, Sabri Yunus dan pasangan itu dinikahkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr Maza.

Author

Pilihan Editor