HomeGlobal'Sayang, jom makan', wanita masakkan hidangan buat mendiang suami

‘Sayang, jom makan’, wanita masakkan hidangan buat mendiang suami

UMPAMA rindu yang tiada pengakhiran. Demikian situasi yang sesuai digambarkan terhadap seorang wanita warga emas, apabila masih tidak dapat melupakan mendiang suaminya dan menganggap lelaki itu seolah-olah masih hidup.

Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), wanita berusia 82 tahun itu dilihat sedang menyediakan makan malam untuk mendiang suaminya yang meninggal dunia sejak lebih dua dekad lalu.

Adegan menyentuh hati itu juga memaparkan wanita tersebut makan sendirian di kediamannya di pangsapuri di Chongqing, dekat barat daya China.

Malah, dia juga dilihat mengisi makanan lebih banyak ke dalam sebuah mangkuk kosong berbanding mangkuknya sendiri, sebelum meletakkannya di atas meja sebelahnya.

Pada masa sama, dia meletakkan bingkai foto suaminya di sebelah meja dan menjamu selera sambil menatap imej itu.

Suami wanita itu meninggal dunia sejak 23 tahun lalu dan ketika video tersebut dirakamkan, ia bukanlah hari istimewa atau ulang tahun kematiannya, menurut cucu perempuannya dikenali sebagai Gua.

“Saya merasakan kasih sayangnya terhadap datuk masih kuat tetapi saya juga terseksa melihat perkara ini,” kata Guo seperti dilapor South Morning China Post.

Video tersebut ketika ini sedang tular dan menerima lebih dua juta tontonan di China, manakala ramai yang sebak melihat kasih sayang wanita itu terhadap mendiang suaminya.

“Semasa makan, dia mungkin berbual dengan mendiang suaminya sambil berkata: “Sayang, jom makan. Saya masakkan hidangan kegemaran awak hari ini. Semuanya baik-baik sahaja dan ada berita baik yang saya ingin kongsikan dengan awak,” tulis seorang pengguna media sosial.

“Ketika saya kecil, saya melihat nenek menyediakan semangkuk nasi untuk datuk yang sudah meninggal dunia dan saya anggap ia sebagai pembaziran makanan. Saya sudah dewasa sekarang dan saya faham pasti dia sangat merindui datuk,” tambah seorang lagi netizen.

Author

Pilihan Editor