HomeBeritaTiada ejen, orang tengah wakili JPN dalam setiap urusan

Tiada ejen, orang tengah wakili JPN dalam setiap urusan

CYBERJAYA: Tiada sebarang ejen atau orang tengah dilantik untuk mewakili Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi setiap urusan dan perkhidmatan.

Ketua Pengarah JPN, Zamri Misnan sebaliknya berkata, orang ramai boleh hadir ke mana-mana 212 pejabat JPN untuk mendapatkan maklumat atau khidmat nasihat.

Zamri berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa akaun di platform media sosial, yang menawarkan khidmat berbayar untuk mendapatkan dokumen-dokumen dikeluarkan JPN.

Beliau berkata, pihak tidak bertanggungjawab itu didapati memanipulasi platform media sosial untuk memperdaya orang awam, terutamanya pendatang asing yang baru tiba dan tidak memahami prosedur rasmi pemilikan dokumen pengenalan diri di Malaysia.

“Akaun yang diwujudkan menggunakan poster dan gambar rasmi JPN yang boleh didapati secara umum di internet.

“Hasil risikan mendapati, modus operandi sindiket ini bermula dengan memaparkan hantaran di Facebook, yang menawarkan perkhidmatan menguruskan permohonan di JPN dengan kadar bayaran tertentu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Zamri berkata, hantaran-hantaran itu dipaparkan dalam tempoh jangka masa pendek, bagi mengelakkan kegiatan tersebut dihidu oleh pihak berkuasa.

Jelasnya, selain mengeluarkan poster peringatan berkaitan scammer di media sosial rasmi JPN, pihaknya juga sentiasa memantau dan melakukan risikan ke atas halaman atau akaun media sosial, yang didapati cuba menipu masyarakat dengan menggunakan nama jabatan itu.

“Pengguna media sosial boleh mengambil tindakan dengan melaporkan kepada pihak berwajib terhadap sebarang halaman yang meragukan dan bertentangan dengan garis panduan komuniti platform media sosial berkenaan bagi mengelakkan lebih ramai pihak terpedaya.

Orang ramai boleh merujuk soalan-soalan lazim di laman web rasmi JPN melalui pautan www.jpn.gov.my/my/soalan-lazim/soalan-lazim atau hubungi JPN di talian 03-8880 7077 atau emel ke pro@jpn.gov.my.

 

Author

Pilihan Editor