PELAKON popular, Ummi Nazeera mengakui pernah ‘melenting’ seorang pelakon baru disebabkan tidak menepati masa penggambaran sehingga menyusahkan pelakon-pelakon lain terutama pelakon senior.
Memetik Melodi TV3, Ummi Nazeera, 33, tidak dapat menahan diri daripada memarahi aktres berkenaan kerana seolah-olah tidak menghormati pelakon senior yang menunggu lama dari waktu sepatutnya.
Jelas pelakon drama Risik Pada Hati itu, dia tidak kisah sekiranya aktres itu menyusahkan dirinya dan bukan kepada pelakon senior.
“Saya rasa teruk juga saya marah… saya seorang yang sangat senang nak bertolak ansur, saya boleh terima kalau nak menyusahkan saya.
“Cuma kalau menyusahkan pelakon senior sehingga mereka terpaksa menunggu dia, setiap hari lambat… Saya sebagai pelakon senior sikit daripada dia rasa benda ni tak boleh berterusan.
“Dia buat benda tu berterusan, jadi saya mengamuk dekat dalam bilik. Saya cakap ‘jangan buat macam ni, sangat kurang ajar’.
“Tapi apa yang bagusnya dia sangat menerima teguran itu, dia tidak melawan dan meminta maaf kepada semua pelakon dan pihak produksi,” ceritanya.
Ditanya mengenai hubungannya dengan aktres itu, pemenang pelakon wanita terbaik Anugerah Tonton Drama Sangat 2023 memaklumkan hubungan mereka masih baik dan tidak bergaduh.
“Kami tak menjadi best friend, tapi kami tegur ‘hi bye’ saja. Saya masih hormati dia dan wish her the best,” katanya.
Sebelum mengakhiri, Ummi sempat menitipkan nasihat kepada pelakon-pelakon baharu yang baru berjinak dalam dunia lakonan untuk mengutamakan adab dalam pekerjaan.
“Kadang-kadang pelakon baru kalau tak boleh berlakon saya tak ada masalah, saya juga dulu seorang pelakon kayu.
“Tapi kalau adab tak ada benda tu boleh jadi satu perkara yang sangat besar. Mungkin sebab sebelum ni tak ada orang berani menegur dia, selepas saya tegur dan dia berubah, jadi kami boleh bekerja macam biasa.
“Kita kena ikhlas dalam apa saja yang kita buat. Sekiranya bukan niat untuk bekerja, tetapi hanya nak jadi terkenal atau nak duit itu tak cukup.
“Tetapi kalau datang menyusahkan orang that is a big no and I don’t want to work with you,” ujarnya.