BANDAR GAZA, Palestin: Sekurang-kurangnya 27 rakyat Palestin terbunuh awal Khamis dalam serangan udara Israel di selatan Genting Gaza, lapor agensi berita Palestin WAFA.
Tentera Israel melakukan serangan udara di kawasan luas di utara dan selatan Genting Gaza, terutamanya menyasarkan bandar Khan Younis dan Rafah, agensi itu memetik sumber tempatan sebagai berkata.
Artileri tentera juga membedil kawasan kejiranan Al-Daraj dan Al-Tuffah di timur Bandar Gaza, serta bandar Jabalia di bahagian utara enklaf itu, tambah agensi itu.
Israel telah mengebom Genting Gaza dari udara dan darat, mengenakan kepungan dan melancarkan serangan darat sebagai tindakan balas terhadap serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober.
Sekurang-kurangnya 18,608 rakyat Palestin telah terbunuh dan 50,594 cedera dalam serangan Israel sejak itu, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.
Angka kematian Israel dalam serangan Hamas masih dikekalkan pada jumlah 1,200, manakala kira-kira 139 tebusan kekal dalam tahanan, menurut angka rasmi. – Anadolu