HomeBerita318 jangkitan dikesan di PPS

318 jangkitan dikesan di PPS

KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 318 kes jangkitan membabitkan 183 kes berkaitan kulit, 125 kes respiratori akut (ARI), tujuh kes konjunktivitis dan tiga gastroenteritis akut (AGE) dalam kalangan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkara itu dikesan menerusi aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit yang dijalankan setiap hari di 103 PPS.

Semua kes adalah stabil dan diberi rawatan sebagai pesakit luar di PPS dan tiada kes kesihatan mental dirujuk kepada kaunselor atau pakar perubatan.

“Terdapat satu wabak konjunktivitis pada 26 Disember lalu di PPS Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi, Pasir Mas yang membabitkan lima kes daripada 15 orang yang terdedah.

“Semua kes diberi rawatan, pendidikan kesihatan dan diisolasi di PPS berkenaan oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdapat 14 kes baru COVID-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir di PPS iaitu di Kelantan sembilan kes dan Terengganu (lima kes) melalui saringan bergejala.

Kes COVID-19 adalah sporadik dan majoriti mempunyai gejala ringan dan dirawat di PPS atau di rumah (12 kes), manakala dua kes memerlukan rawatan di hospital.

“KKM telah menggerakkan 66 pasukan perubatan, 67 pasukan kesihatan dan 99 pasukan Mental Health Psychosocial Support (MHPSS) ke negeri terjejas banjir bagi memberi perkhidmatan kesihatan dan sokongan psikososial kepada 22,835 mangsa banjir di kesemua 103 PPS.

“Sebanyak 51 fasiliti kesihatan terjejas banjir di tiga negeri iaitu Kelantan (23), Terengganu (11) dan Pahang (17). Sebanyak 34 fasiliti kesihatan masih beroperasi seperti biasa, manakala 16 fasiliti kesihatan telah berpindah operasi ke fasiliti alternatif dan satu fasiliti kesihatan tidak dapat beroperasi kerana terputus hubungan,” katanya.

Beliau berkata, KKM menasihati orang ramai agar sentiasa peka dan mengambil serius arahan pihak berkuasa dan mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan kendiri bagi mencegah penularan penyakit berjangkit, kemalangan dan kecederaan.

Katanya, KKM akan terus memantau perkembangan banjir di negeri yang terlibat dan memastikan langkah pencegahan serta kawalan penyakit sewajarnya. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor