HomeBeritaMahkamah & Jenayah7 kanak-kanak ditahan kes curi motosikal di Sibu

7 kanak-kanak ditahan kes curi motosikal di Sibu

CYBERJAYA: Tujuh kanak-kanak lelaki berusia 11 hingga 15 tahun ditahan, selepas disyaki terbabit kes mencuri tiga motosikal di Taman Sibujaya, di Sibu, Sarawak, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, semua suspek berkenaan ditangkap selepas pihaknya menerima tiga laporan daripada tiga individu antara jam 7 hingga 10 pagi Ahad yang mengadu motosikal mereka telah hilang.

“Bertindak atas maklumat, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Sibu serta Bahagian Ronda Cegah Jenayah, Balai Polis Sibujaya, menahan dua suspek berusia 12 dan 15 tahun pada hari sama.

“Tangkapan pertama itu kemudian membawa kepada penahanan lima lagi rakan mereka berusia 11 hingga 13 tahun.

“Polis turut merampas tiga motosikal yang dilaporkan hilang,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, kesemua suspek dan motosikal yang dicuri itu dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan awal polis mendapati semua suspek mengaku terbabit kes berkenaan,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, semua suspek terbabit direman mulai Isnin hingga Rabu bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda.

Author

Pilihan Editor