RANTAU PANJANG: Hampir 90 peratus kawasan di Rantau Panjang, di sini, digenangi air susulan banjir gelombang ketiga, sejak tiga hari lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Zainal@Jainal Madasin berkata, beberapa jalan utama untuk ke Rantau Panjang juga turut ditenggelami air dengan paras tinggi dan hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja.
Katanya, bagaimanapun keadaan masih terkawal dengan kerjasama pihak bomba serta agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
“Kami juga difahamkan paras air Sungai Golok mencatat bacaan tertinggi berbanding tahun sebelun ini dengan bacaan paras air melebihi bacaan 11 meter. Kesanya, beberapa penempatanya yang sebelum ini tidak menerima limpahan air turut terjejas.
“Bagaimanapun, hari ini (semalam) paras air dilihat sedikit menurun tetapi semua penduduk dinasihatkan untuk berjaga-jaga kerana bimbang jika hujan masih berlaku selain paras Sungai Jenob di Tanah Merah juga masih di tahap amaran.
“Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bersiap siaga 24jam membantu mangsa banjir bukan sahaja di jajahan Pasir Mas, malah beberapa daerah lain seperti Kuala Krai, Machang dan Gua Musang yang turut dilanda banjir,” katanya ketika ditemui selepas turun padang membuat pemantauan di pekan Rantau Panjang, di sini, semalam.
Semalam, media melaporkan air Sungai Golok berada pada paras tertinggi dalam tempoh sembilan tahun dengan bacaan 11.03 meter (m).
Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan berkata, paras air Sungai Golok setakat ini paling tinggi pernah direkodkan ialah 10.84m pada 2014.
Sementara itu, Zainal turut menasihatkan mangsa banjir untuk meletakkan kenderaan di tempat selamat serta tidak menghalang laluan agensi keselamatan untuk menjalankan operasi menyelamat serta memindahkan mangsa banjir.
“Situasi ini turut mengganggu kerja anggota terutama ketika berlaku kecemasan, justeru saya berharap agar penduduk lebih peka dengan masalah ini dan memberi kerjasama kepada pasukan penyelamat.
“Selain itu, ibu bapa juga diharap dapat memantau anak-anak supaya tidak bermain air banjir bagi mengelak insiden yang tidak diingini seperti kejadian lemas yang boleh meragut nyawa,” katanya. – Berita Harian