PENYANYI, Amir Jahari mendedahkan pernah melakukan percubaan untuk terjun dari jambatan pada tahun 2018 disebabkan masalah kemurungan.
Kongsi Amir atau Mohamad Amirullah Jahari, 31, pada ketika itu dia mengalami masalah kemurungan yang teruk sehingga mendorongnya untuk melakukan percubaan dengan terjun dari jambatan sebanyak tiga kali.
“Saya pernah mencuba untuk terjun jambatan sebanyak tiga kali tapi, Alhamdulillah saya tak teruskan.
“Waktu tu saya seorang diri di tengah-tengah jambatan. Setiap kali saya nak terjun dari jambatan mula-mula saya terbayang muka mak saya.
“Kali kedua pula saya terbayang muka isteri, dan terakhir saya terbayangkan muka guru saya, Almarhum Raja Ashman Shah.
“Sejak itu, saya rasakan yang saya perlukan bantuan dan saya terus dapatkan rawatan,” luahnya memetik Gempak.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Selalu Ada bersyukur kerana dirinya telah pulih dan dia kini tidak lagi mengambil sebarang pengambilan ubat dari tahun 2021 selepas mendapatkan rawatan.
“Selepas kejadian itu, saya terus bertekad untuk mendapat pertolongan. Alhamdulillah saya dapat teruskan kehidupan.
“Saya memang ada berjumpa psikiatri dan mengambil ubat untuk atasi kemurungan itu. Saya bersyukur, sejak 2021 hingga sekarang saya sudah tidak bergantung kepada ubat.
“Tetapi ada kalanya akan ada episod-episod kemurungan itu. Namun semuanya sudah bertambah baik dan saya boleh berikan tumpuan kepada kerjaya nyanyian saya,” kongsinya lagi.